RSS

Penyakit Tulang

Penyakit tulang adalah salah satu penyakit yang sedang bermain di dalam fikiran saya. Ia tiada kena mengena dengan keluarga saya. Ayah, ibu dan adik beradik saya tidak ada yang mempunyai sakit yang demikian. Mereka semua sihat walafiat. Alhamdulillah.
Yang menjadi kerunsingan mungkin kepada ibu mertua saya. Mana tidaknya, sekarang anak bongsu nya sedang mengalami sakit berkenaan. Adik bongsu kepada suami saya ("Mayang"- panggilan anak-anak kepada adik ipar) sedang di tahan di wad hospital gara-gara penyakit yang jarang ditemui itu. Pada fahaman saya, penyakit tersebut bukan lah seperti Osteoporosis yang mana tulang akan menjadi reput sekiranya tidak cukup kalsium. Ia seperti parasit yang terdapat pada tulang-tulang Mayang dan menghisap segala khasiat yang ada pada tulang tersebut. Doktor sekarang sedang cuba untuk mendapatkan sampel bagi mencari punca berlakunya penyakit sebegini. Minggu lepas, cubaan untuk mendapatkan sampel "parasit" tersebut hampir berjaya, maka lega lah perasaan semua kerana Mayang tidak perlu dibedah semata-mata untuk dapatkan sampel sahaja. Namun, semalam, suami memberitahu, Mayang sudah pun dibedah pada waktu pagi dan sampel di bahagian tulang rusuknya diambil. Kesian. Kami masih menunggu keputusan serta langkah yang seterusnya daripada doktor di sana.

Bila difikirkan, adakah ini penyakit keturunan. Mungkin ya dan mungkin tidak. Sebelum ini, kakak kepada Mayang (Ateh) juga melalui pembedahan untuk mengeluarkan "tulang yang tidak diingini". Saya tidak pasti apakah istilah untuk penyakit seperti itu. Ateh juga mengalami kesakitan iaitu tidak dapat berjalan, tidur dan duduk dengan baik kerana penyakit itu. Pada tahun 2005, "benda itu" berjaya di keluarkan dan Ateh sembuh seperti sedia kala. Suami saya juga menghadapi perkara yang sama. Sehari sebelum Aidilfitri pada tahun lepas, suami diserang penyakit tersebut. Selama dua minggu suami bertahan untuk tidak ke hospital kerana sedang belajar. Selama dua minggu itu juga dia tidak dapat tidur, duduk dan berbaring seselesa yang mungkin. Apabila ke hospital, terus di tahan di wad dan pembedahan dibuat. Rupa-rupanya sudah 15 tahun dia mengidap penyakit tersebut namun bertahan dengan hanya makan ubat tahan sakit. Sekarang, setelah hampir setahun selepas pembedahan, doktor mengesahkan suami mendapat keilatan kekal akibat pembedahan tersebut. Doktor tersebut juga menyarankan agar suami saya menjalani pembedahan yang lain untuk memulihkan kakinya sekarang. Dalam hati saya seolah-olah tidak yakin dengan saranan tersebut. Saya nyatakan kepada suami, selagi boleh bertahan, cuba berubat secara tradisional pula. Mudah-mudahan berhasil dengan ikhtiar ini.

Apa yang terdetik di hati saya sekarang ialah anak-anak saya. Sekiranya ia adalah penyakit keturunan, saya mohon supaya Allah jauhkan semua itu daripada anak-anak saya. Amin.


Musim baru

Musim kuliah bermula. Saya masih mengharapkan momentum yang baik bagi memulakan kuliah. Sebelum bermula minggu ini, sudah diniatkan dalam hati untuk memberi yang terbaik semampu yang boleh. Cuba berfikiran positif untuk melalui apa yang bakal dilalui pada semester ini. Namun, sehingga hari ini iaitu hari ketiga kuliah, sudah terdapat dua subjek yang di bawah seliaan saya tiada pelajarnya. Yang satu subjek berkemungkinan akan ditutup kelasnya, yang lagi satu saya bertemu muka dengan hanya seorang pelajar sahaja.

Hmmm...bila difikirkan, ada baik dan tidak baiknya berkeadaan begini. Namun jauh di dalam hati, seolah-olah terbantut apa yang ingin dikongsi dan dipelajari dengan para pelajar. Saya masih menunggu dengan harapan akan ada lah penyelesaiannya.