RSS

Anugerah

Entri kali ini adalah yang pertama dan terakhir untuk bulan ini ketika menantikan kehadiran tahun yang baru. Seperti orang lain, saya juga menempuhi pelbagai kenangan dan pengajaran pada tahun 2009 ini. Namun semua itu tidak mampu disuratkan di sini. Namun, yang paling terkesan di hati adalah nikmat yang dianugerahi ketika menjelang akhir tahun ini. Pada saya nikmat yang diberikan oleh Allah itu amat bermakna. Ia adalah satu anugerah dan anugerah itu adalah satu penghargaan walaupun tidak dipinta. Anugerah itu adalah satu penghormatan. Anugerah itu satu kurniaan rezeki yang amat disyukuri. Anugerah itu satu pengajaran. Anugerah itu satu dorongan. Anugerah itu juga satu peringatan buat saya yang selalu alpa.

Saya menerima anugerah itu dengan perasaan rendah hati, rendah diri. Tidak pernah terlintas di hati akan menerimanya kerana saya tahu, siapa lah saya untuk itu. Namun, saya tiada kuasa untuk menolaknya kerana ia seolah-olah satu penghinaan kepada yang memberi. Walaupun untuk menerimanya, saya juga harus menerima segala tohmahan, sindiran dan kritikan yang dilemparkan. Pada saya, itu adalah anugerah daripada ALLAH S.W.T.