RSS

Cuti

Esok cuti lagi. Namun, tidak terasa ralat sangat kerana Jumaat memang tiada kelas. Jadi, saya tidak perlu merangka untuk menggantikan kelas. Esok, saya dan keluarga akan ke Cherating untuk bercuti. Percutian pendek yang tidak dirancang sebenarnya. Untuk Husna dan Hazeeq, hari minggu yang lepas mereka sudah pandai mandi laut. Minggu ini kami akan ke Cherating, mereka sangat teruja untuk ke sana. Kalau minggu lepas mereka mandi laut siap berpakaian jeans dan t-shirt (pun tidak dirancang), namun kali ini saya agak bersedia dengan membelikan mereka baju dan seluar mandi.

Untuk saya pula, konon-kononnya pergi tanpa membawa sebarang "KERJA", namun memandangkan keadaan sekarang yang kurang mengizinkan, saya akan membawa sedikit "bekalan kerja" untuk dibuat di sana. Entah buat, entahkan tidak. Tunggu dan lihat saja.

Sifat Mahmudah

Inilah Sebahagiaan sifat mahmudah
Yang patut ada pada diri kita
Susah dimiliki payah dijaga
Hanya yang punya
Yang bermujahadah

Ikhlas itu jiwa yang murni
Rahsia Allah di dalam hati
Terlalu sembunyi tapi dapat dikesan
Jika disuluh dengan saksama
Nista dan puji tiada berbeza

Redha sifat hati yang suci
Ujian yang tiba rasa gembira
Atau tiada apa terasa
Kerna menerima anugerah Tuhannya
Kerna menerima anugerah Tuhannya

Sifat Sabar sedikit berbeza
Ujian yang menimpa sakit dirasa
Tapi dapat ditahan perasaannya
Hanya bermain di dalam sahaja
Di luar tidak nampak terang nyata
* lirik lagu nasyid kumpulan Hijjaz.
Ikhlas - amat sukar untuk menjaga keikhlasan hati kerana ia selalu diuji oleh perbuatan yang menyakitkan hati. Manusia boleh mengungkapkan dengan kata-kata namun, hanya Allah yang Maha Mengetahui.
Redha - Redha atas segala apa yang berlaku memerlukan kekuatan dan kelapangan hati yang dapat menerima segala dugaan, rezeki yang mendatang dengan rasa penuh kesyukuran sambil menyedari segala sesuatu yang berlaku ada hikmahnya.
Sabar - Selalunya akan hadir bersama dengan doa-doa supaya diberi ketabahan dan kekuatan.
Tersentuh hati ini apabila mendengar lagu ini walaupun liriknya tidak mengandungi kata-kata puitis tatkala hati dan perasaan dilanda tekanan.

Kisah di Suatu Petang

Petang semalam, Husna meragam. Entah apa yang dia nak, saya pun kurang pasti. Bermula dengan ketidakpuasan hati melihat saya dan suami duduk sebelah menyebelah sambil membaca suratkhabar dan majalah, dia mencelah di tengah-tengah. Sudah tahu sempit, Husna mula bising kerana tersepit. Ayahnya mula geram, terus beralih ke tempat lain. Tidur. Saya menyambung pembacaan. Malas nak hiraukan dia. Melihat diri tidak dilayan, terus dikacaunya saya. Saya baca mukasurat satu, dibeleknya mukasurat lain. Tak cukup dengan itu, apabila saya meniarap sambil membaca, dia mula sibuk duduk di atas belakang saya. Saya hanya membiarkan. Sehingga majalah yang saya baca menunjukkan gambar rumah yang cantik dalaman dan luarannya. Dia cuba berdialog dengan saya.

Husna: Mama, bila kita nak pindah rumah ni..?(sambil menunjukkan gambar rumah di dalam majalah)
Mama: Eh, apasal pulak? Itu bukan rumah kita. Rumah kita yang ni…
Husna: Ala…rumah ni (dalam majalah) cantik…
Mama: Nape? Rumah kita ni tak cantik ke?
Husna: Taakk…
Mama: Tak pela…nanti kita ada la rumah cantik macam tu…tunggu mama ada duit dulu..
HUsna: Ala…adik nak duk rumah tu (dalam majalah) sekarang jugak
Mama: Mana boleh? Rumah tu ada tuan, nanti tuan dia nak duk mana?
Husna: Tak pe…tuhhan (tuan) dia bagi…(sambil beberapa kali saya membetulkan sebutan TUAN)
Mama: Tuan dia tak bagi…nanti kesian rumah kita ni…sapa nak duduk…
Husna: Alaaa…adik nak duk rumah cantik tu sekarang jugak…ada taman..senang adik nak main…
Mama: (dalam hati) ooo…patut la..
Husna mula merengek. Bicara disambung lagi (melihatkan katil ditukar cadar baru)
Husna: Kenapa mama tukar katil ni..?
Mama: Tak de la…mama tukar cadar je..
Husna: Adik taknak katil ni….nak katil bawah (tilam tanpa cadar)
Mama: La…apsal?mana best tidur katil bawah…Lagi best kalau ada cadar..
Husna: Tak nak….!!Adik nak katil ni….(husna mula meraung)

Setelah itu, saya beralih ke depan tv. Hazeeq masih tekun menonton kartun. Husna menjerit-jerit. Hazeeq komplen, bising katanya.

Hazeeq: Mama, apa bising sangat tu?
Mama: Ntah..adik meragam…abang gi tanya, adik nak apa..
Hazeeq: Adik nak apa…?
HUsna: nak mama…
Mama: Haa..datang sendiri sini..
Hazeeq: Adik dah bukak semua baju ma…dia nak mandi kut..
Mama: …(Diam…malas nak layan)
Hazeeq: Biar abang mandikan je la…(sambil menyinsing kaki seluar jeans yang dipakai)
Mama: …(Diam lagi…saja membiarkan)

Kedua-dua beradik masuk ke bilik air…si abang mandikan adiknya..siap bagi arahan seperti mana saya arahkan mereka ketika mandi.

Hazeeq: Gosok ketiak tu dik…tangan…kaki…leher…
Husna: Diam…agaknya mengikut apa yang dikata abangnya
Mama: (membiarkan saja)
Hazeeq: Nanti abang ambik towel…nah…lap
Mama: Mengerling aje…
Hazeeq: Jap abang ambikkan baju…
Mama: (Buat tak tau je…)

Sudahnya, saya tengok Husna memakai baju kuning dan seluar pink. Langsung bukan baju yang sepasang. Saya biarkan saja. Dan setelah itu, mood Husna kembali normal dan menegur saya seperti tiada apa-apa yang berlaku sebelumnya.

Hak dan kebajikan

Adakah untuk memohon sedikit sumbangan kebajikan (bagi yang kurang bernasib baik), sesetengah daripada mereka harus membawa atau menggunakan orang yang berpangkat tinggi untuk dijadikan sebagai "sebab" bagi meluluskan sesuatu permohonan?

Situasi di bawah ini antara yang pernah berlaku.

Situasi 1:
Salah seorang anak buah saya di diagnoskan sebagai "autistic children". Kanak-kanak autisme ini banyak kategori sama ada teruk, sederhana atau peringkat biasa. Untuk mengajar kanak-kanak seperti ini, mereka harus melalui kelas pendidikan khas. Cikgu-cikgu mereka telah dilatih untuk mendidik dan membimbing kanak-kanak seperti ini. Sebelum masuk ke sekolah kanak-kanak tersebut haruslah diisytiharkan sebagai orang kurang upaya (OKU) oleh satu jabatan kerajaan. Setelah itu, baru la mereka boleh masuk ke sekolah dan belajar seperti biasa. Namun, pada mulanya, hanya untuk mendapatkan pengesahan OKU itu sendiri memakan masa kerana sewaktu membuat permohonan, kami hanya membawa dokumen seperti yang disuruh, tanpa membawa "nama" seseorang yang berpangkat tinggi. Apabila hampir sebulan, kami cuba bertanya khabar berkenaan status borang tersebut, ia masih belum diproses. Tidak puas hati dengan keadaan tersebut, kami menggunakan seorang bapa saudara iaitu "PENGHULU" mukim yang lain untuk menghubungi orang-orang yang "berkepentingan" dalam jabatan tersebut bagi mempercepatkan proses. Dalam masa seminggu, anak tersebut mendapat kad OKU.
Situasi 2:
Saya pernah bersembang dengan seorang staf di sini yang mempunyai pendapatan sederhana dan mempunyai anak OKU. Mempunyai suami namun, nasibnya kurang bernasib baik kerana suami yang ada tidak bertanggungjawab. Dia agak emosi hari itu sambil bercerita tentang keadaan anak-anaknya itu. Salah seorang anaknya OKU tidak mampu berjalan serta menguruskan diri. Anaknya yang seorang ini memerlukan penjagaan rapi dan juga perbelanjaan yang agak banyak terutama untuk lampin pakai buang serta makan minumnya. Anaknya ini berumur hampir 20 tahun. Dia pernah memohon bagi mendapatkan elaun untuk anaknya itu, namun setelah setahun permohonan dibuat, nyata masih belum mendapat apa-apa. Setelah penat menunggu, dia memohon bantuan daripada staf yang lain yang merupakan isteri kepada Yang Berhormat dengan harapan elaun bantuan untuk OKU dapat diperolehi. Setakat hari ini, saya masih belum mengetahui statusnya.
Saya terfikir dan tidak pasti adakah prosedur untuk memohon bantuan sebegitu rupa. Pemohon haruslah menunggu selama yang mungkin bagi mendapatkan hak mereka. Entahkan dapat, entahkan tidak. Pada saya sekiranya sesebuah jabatan itu dengan tulus dan telus untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik, mereka tidak perlu untuk menyusahkan mereka yang susah untuk ke sana ke mari bagi memohon sokongan lebih daripada apa yang diperlukan.
Sebab itu, sekiranya saya ingin berurusan dengan jabatan-jabatan tertentu di luar sana ketika waktu bekerja, saya akan pastikan saya memakai tanda nama beserta lencana organisasi. Kalau tidak, mereka pun tidak "kuasa" untuk melayan dan saya pernah melalui pengalaman itu.

Waris

Apakah perkara atau benda yang harus kita tinggalkan untuk anak-anak setelah ketiadaan kita pada suatu hari nanti? Ia seperti "trend" sekarang, manusia kebanyakannya mengejar harta dunia untu diwariskan kepada anak-anak tercinta. Namun tidak terfikirkah bahawa suatu hari nanti harta tersebut akan menjadi sebab kepada perpecahan dalam keluarga. Disebabkan harta, adik-beradik tidak bertegur sapa dan bermasam muka. Asalnya berkecil hati dengan adik beradik sendiri, lama-lama mereka yang berkaitan dengan yang dimusuhi turut dijadikan mangsa. Lagi hebat apabila masing-masing menyangkal peraturan yang telah ditetapkan oleh ALLAH SWT disebabkan ketamakan harta dunia.

Apabila berlaku perkara sebegini, saya mula terfikir, adalah sebaiknya kita tinggalkan ilmu dunia akhirat kepada anak-anak. Walaupun tiada sebarang harta, anak-anak lebih mengenang kita dan juga memberi sedekah daripada amal yang dilakukan berdasarkan ilmu yang kita bekalkan. Sekurang-kurangnya apabila kita kembali ke alam barzakh, doa anak-anak yang soleh akan sentiasa sampai kepada orang tuanya walaupun sudah tiada di alam dunia.

Hakikatnya, saya tidak pernah menyangka yang saya akan melalui perkara sebegini.