RSS

"Anak-anak lorong"

Malam tadi saya menantikan drama 'Anak-anak Lorong' di saluran Astro Prima. Melihatkan tajuknya pun membuatkan saya tertunggu-tunggu walaupun drama bermula jam 10.30 malam dan berakhir jam 12.30 malam. Ia mengisahkan realiti kehidupan anak-anak jalanan di Bandaraya Kuala Lumpur. Drama ini amat menyentuh hati. Dua orang adik beradik hidup dalam keadaan tiada arah tuju, tidak bersekolah dan hidup dalam suasana yang amat menyedihkan. Amirah dan Azim tinggal bersama ibu mereka yang bekerja sebagai pelacur. Sewaktu ibu mereka ada "kerja" mereka akan merempat ke mana sahaja. Makan, tidur anak-anak ini tidak dihiraukan oleh ibu mereka yang memang tidak ambil peduli perihal anak-anak. Anak-anak ini juga diambil kesempatan oleh sindiket dan dipaksa untuk meminta sedekah. Setelah beberapa hari tidak pulang kerana disekat oleh sindiket tersebut, barulah ibu mereka mula mencari mereka.

Dipendekkan cerita, ibu mereka ditemui meninggal dunia ketika bergelut dengan salah seorang ahli sindiket dan juga pelanggannya, manakala Azim meninggal dunia di tepi-tepi lorong yang kotor dalam keadaan yang menyedihkan. Azim pergi dalam keadaan teramat rindu pada ibunya, dalam keadaan lapar dan paling menyedihkan anak itu meninggal mungkin kerana mengidap AIDS. Nasib Amirah amat baik kerana dipertemukan dengan Cikgu Mariah yang telah mengambil Amirah sebagai anak angkatnya setelah lama mencari. Cikgu yang berhati mulia ini sanggup untuk mengambil anak ini yang mungkin pada orang lain amat kotor dan jijik. Mana tidaknya, anak kepada seorang pelacur, tinggal merempat dan berperangai liar. Cikgu Mariah sanggup memberi peluang kepada Amirah untuk hidup dalam keadaan yang sepatutnya. Itu lah yang sepatutnya dicontohi. Kita tidak boleh terlalu menyalahkan orang lain dan sebolehnya memberi peluang untuk mereka berubah.

Kisah ini membuatkan hati saya tersentuh. Kasihan melihatkan keadaan dan nasib anak melayu hari ini sekiranya itulah kenyataan hari ini. Betapa sekarang ini anak-anak seolah-olah tiada nilainya lagi. Sebab itulah kita sentiasa disajikan dengan berita pembuangan anak yang tidak berkesudahan. Anak-anak anugerah Allah. Walau sebesar mana pendapatan dan kekayaan kita pada hari ini, tidak akan terbanding dengan nilai seorang anak. Itu lah pelaburan di dunia dan akhirat. Pelaburan yang tiada tolok bandingnya.

Realiti Kini

Hujung minggu lalu saya ada terbaca satu artikel berkenaan dengan seorang guru dan seorang remaja lelaki yang malas belajar. Dialognya adalah seperti berikut (setelah diringkaskan):

"Kamu ni kenapa? Malas belajar!!Besar nanti kamu nak jadi apa?", kata cikgu tersebut. Pelajar lelaki tersebut selamba menjawab, "Ala cikgu..besar nanti saya tak payah susah-susah kerja..saya kahwin je dengan 2-3 orang wanita...kan sekarang ni ramai wanita yang berpangkat tinggi, bergaji besar..biar mereka lah yang tanggung saya..dengan apa yang saya ada, saya yakin saya boleh buatkan mereka tertarik dengan saya..pakcik saya pun macam tu...kahwin dengan 3 orang wanita..sekarang hidup senang lenang...seronok je...tak payah susah kerja..."

Terkedu sekejap membayangkan realiti anak muda sekarang terutamanya yang bernama lelaki. Terus saya terfikirkan anak lelaki saya yang baru berumur 5 tahun. Bagaimana untuk membentuk dirinya menjadi lelaki yang ada rasa tanggungjawab. Merasai diri diamanahkan oleh Allah SWT dalam mentadbir diri dan juga pengikutnya (skop yang kecil iaitu isteri dan anak-anak). Menjadi penjaga kepada keluarganya. Menjadi pelindung yang paling selamat untuk keluarganya. Tahu berfikir dan membezakan mana yang baik atau mana yang buruk, mana yang halal atau haram. Menjadi pembimbing yang baik ke arah kebaikan.

Sekarang ini pun, ada antara mereka yang saya kenal dan rapat mempunyai sifat-sifat lelaki yang tidak berkualiti. Yang gagal menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak. Yang diri sendiri hanyut dibawa oleh gelora nafsu sendiri, walaupun umur sudah menginjak ke 50 an. Ada juga yang gagal memberikan bimbingan kepada anak dan isteri sendiri. Gagal membuat keputusan yang rasional dan terbaik. Hanya tahu bergaya walaupun sebenarnya duit tiada di poket. Mengajar anak-anak supaya bergaya mewah. Baju dan kasut pantang kalau tidak berjenama mahal. Solat lima waktu dianggap remeh dan dia sendiri seolah-olah tidak tahu membezakan sesuatu sama ada halal atau haram, dosa atau pahala.
Memang tidak hairan apabila sekarang anak-anak hilang arah tuju. Hidup dalam keadaan sia-sia. Tiada jati diri. Modal insan yang dibawa adalah berdasarkan pengalaman dan pengamatan daripada keluarga sendiri. Sekiranya baik kelaurganya, maka baiklah modal yang dibawa. Sekiranya tidak, itu lah yang selalu kita saksikan pada hari ini. Keruntuhan institusi keluarga yang amat teruk, keruntuhan moral, maksiat berleluasa dan macam-macam lagi peristiwa yang membuatkan kita mengurut dada.
Melihat realiti sekarang, saya beristighfar dan hanya mampu berdoa supaya saya dan suami menjadi ibubapa dan pendidik yang baik kepada anak - anak dan tidak dianggap ibubapa yang DERHAKA kepada anak-anak. Mungkin kita memang sudah berada di akhir zaman, yang mana pelbagai kecelaruan hidup semakin menjadi-jadi. Wallahua'lam.