RSS

Ibu Saya

Pagi tadi adik yang menjaga ibubapa saya menelefon dan mengadu kerana ibu saya tidak mahu ke hospital untuk pemeriksaan. Hari ini ibu saya dijadualkan untuk membuat pemeriksaan. Saya katakan akan menelefon balik setelah saya menghantar anak-anak ke sekolah. Setelah itu saya hampir terlupa kerana ada hal lain yang perlu diuruskan. Ditambah lagi saya sedang menanda kertas peperiksaan, yang mana memerlukan saya fokus kepada hal yang satu ini. Jam hampir 10 pagi baru saya teringat untuk menelefon. Saya bercakap dengan ibu saya dan cuba memujuk untuk ke hospital. Alasannya adalah takut. Saya perlu menerangkan kepadanya seperti mana saya terangkan kepada anak-anak saya supaya dia tidak takut untuk ke hospital.

Apabila jam menunjukkan pukul 12.00 tengahari, saya menelefon adik. Alhamdulillah, ibu saya bersetuju ke hospital dan menerima sedikit rawatan. Lega hati saya. Petang nanti saya akan telefon untuk bertanya "khabar" ibu saya setelah pulang dari hospital.

Saya termenung sebentar. Saya fikir alasan yang diberikan itu hanya sekadar alasan. Sebenarnya ibu perlukan perhatian anak-anaknya. Baru malam tadi saya bersembang dengannya kerana saya dan keluarga dalam perancangan untuk ke Port Dickson. Jadi, kalau boleh saya mahu ibu ikut sama untuk bersama cucu-cucunya. Di harap agar terubat rindu dan kesunyiannya selama ini.

Pelajar Masakini

Hampir selesai menanda skrip peperiksaan, antara keluhan yang sentiasa terhasil daripada mulut para pensyarah:
  • Apa la diorang ni, soalan senang macam ni pun tak dapat jawab
  • Dah berapa kali keluar soalan macam ni, masih tak boleh jawab
  • Ya Allah...apa bengap benor student aku ni...senang gila ni..basic je ni
  • Apa yang diorang ni belajar dalam kelas...nampak macam ok, paham sungguh-sungguh, tapi time final exam, tak boleh jawab jugak
  • Student tu memang macam tu...lantak la diorang dapat markah macam tu...perangai bukan elok pun
  • Eh..soalan dah keluar waktu ujian hari tu...ni kira soalan berulang ni...dah discuss dalam kelas ni...apsal tak bleh jawab lagi ni
  • eiii...sakit hati aku nanda paper diorang ni
  • La...ramainya fail..camane ni...??
  • Kata dah intake Julai...tapi apsal jawab exam macam budak tak cukup syarat je ni?
  • Dan macam-macam lagi...

Pada hemat saya, kebanyakan pelajar sekarang ini terlalu manja. Pelajar tidak akan belajar sesuatu yang tidak diajar di dalam kelas. Terlalu bergantung kepada pensyarah. Sekiranya tidak disebut di dalam kelas, maka tidak akan dilakukan oleh mereka. Membaca, amat jauh sekali, padahal itu lah tunjang kepada menuntut ilmu. Macam-macam alasan diberikan, tak minat subjek tu lah, malas nak menghafal lah, tak faham lah. "Trend" pelajar masakini, esok atau petang ni nak masuk dewan peperiksaan, pagi ini baru buat temujanji dengan pensyarah. Paling terdesak, jam 12.00 tengah malam sanggup telefon atau SMS untuk bertanyakan soalan. Sekiranya tidak dapat menjawab, sanggup tinggalkan "nota" meminta kasihan daripada pensyarah atau pun lebih senang menuduh pensyarah itu ini. Diri sendiri tiada salahnya, walau pun saya sentiasa menerima alasan pelajar tidak hadir ke kelas jam 8.00 pagi atau 10.00 pagi kerana tidak boleh bangun pagi. Mereka sangup dengan muka tak malu SMS pensyarah untuk membatalkan kelas kerana pada malamnya ada ujian untuk subjek lain. Saya amat bersetuju jika dikatakan pelajar sekarang tidak ada jati diri, malas dan tidak pandai berdikari. Mereka juga gagal mentadbir diri. Contoh di depan mata sudah terlalu banyak. Amat jauh berbeza dengan zaman orang dulu-dulu belajar. Bagaimana manusia seperti ini akan mengajar anak-anak kita nanti? Wallahua'lam. Semoga mereka cepat-cepat sedar diri.

Selamat Hari Ibu

Selamat Hari Ibu untuk semua yang bergelar ibu. Mungkin ada yang meraikan dengan meriah. Bagi saya, cukuplah anak-anak menyuapkan donat yang kecil untuk mama mereka. Suami ingin membelikan kek, tetapi saya menolak kerana pada saya tidak perlu. Apa yang kami buat, sekadar membeli donat kecil, dan Hazeeq dan Husna berebut untuk menyuapkan ke mulut saya. Sudahnya, masing-masing buat hal dan merajuk. Ianya berakhir begitu sahaja. Namun, di minda saya pelbagai perkara bermain mengenangkan diri sendiri dan anak-anak. Persoalan adakah saya sudah menjadi ibu yang terbaik untuk anak-anak sentiasa berlegar di kepala. Saya rasa ibu-ibu lain turut merasakan dan memikirkan perkara yang sama dan sentiasa berusaha untuk menjadi yang terbaik.