RSS

Asal Usul Jementah

Jementah merupakan salah satu pekan kecil di Daerah Segamat, Johor. Saya menetap di Jementah ketika ini dan menjumpai kisah asal usul Jementah daripada buku ini. Ikuti kisahnya. Petikan: Himpunan 366 Cerita Rakyat Malaysia, Utusan Publications, 2009)

Di Daerah Segamat, ada satu tempat yang dipercayai banyak emas. Ramailah orang luar datang ke situ. Mereka ingin mencari emas di situ. Mereka ingin cepat kaya. Mereka mendapati tempat itu masih dipenuhi hutan.Mereka pun mula  menebang pokok-pokok dengan menggunakan kapak. Mereka mula menebang pada waktu pagi. Apabila petang, banyak lah pokok yang sudah ditebang. Mereka sangat gembira. Mereka pun berehat kerana hari hampir malam.

Pagi esoknya mereka terkejut. Pokok-pokok yang ditebang telah bercantum.  Kawasan itu menjadi hutan semula. "Ganjil. Sungguh ganjil!! Bagaimana pokok-pokok itu boleh bercantum semula?" soal mereka sesama sendiri. Mereka menggeleng-geleng. Mereka tidak sangka perkara ajaib boleh berlaku. "Kita jangan putus asa. Kita mesti terus berusaha. Mari kita tebang semula pokok-pokok itu," cadang seorang daripada mereka. Mereka bersetuju. Mereka pun mula menebang. Apabila petang, mereka berhenti rehat. Apabila malam, mereka pun tidur. Pagi esoknya mereka dapati pokok-pokok itu bercantum semula. Mereka semakin hairan tetapi tidak putus asa . Mereka tebang semula pokok-pokok itu. Orang yang lalu di situ juga hairan. Ada yang bertanya, "sudah habiskah menebang pokok?" Jemu, jemu, asyik tebang pokok saja," jawab mereka sambil menggeleng-geleng. Orang itu bertanya lagi, "bila kawasan ini dapat dibersihkan?". Entah, entah, entah," jawab mereka lagi. Keadaan itu berlaku saban hari. Apabila ditanya, jawapan mereka tetap sama. Mereka menjawab: "Jemu, entah, jemu, entah."

Akhirnya orang ramai pun memanggil tempat itu Jementah. Setelah beberapa lama keadaan ini berubah. Pokok-pokok yang ditebang tidak bercantum semula. Mereka semua gembira. "Mujurlah kita tidak putus asa, " jawab mereka.

Sementara Ada

Manusia sememangnya mudah lupa dengan nikmat yang ada di depan mata. Semua kebahagiaan yang ada seolah-olah tidak dihargai. Tidak nampak apa itu bahagia walaupun pada masa yang sama mereka melaluinya. Kebahagiaan pada saya apabila bersama-sama keluarga. Tidak kira sama ada semasa senang atau semasa susah. Bersama-sama anak-anak tidak kira waktunya, sibuk atau santai. Namun saya tidak faham apabila sudah elok sesebuah keluarga hidup bersama, ada salah seorang daripadanya yang ingin pergi meninggalkan keluarganya. Sanggup hatinya. Sekiranya diberi alasan yang munasabah, InsyaAllah boleh diterima. Sekiranya diberikan alasan yang tidak berapa kukuh dan sanggup meninggalkan keluarga demi keinginan sendiri, saya rasa ada sesuatu tidak kena. Orang yang ditinggalkan akan merasa seolah-olah tidak diperlukan, tidak dihargai dan tidak dipedulikan. Sekiranya itu berlaku kepada saya, saya pun tidak akan merayu kepada orang yang ingin meninggalkan itu supaya mengubah fikiran, sekiranya itu keputusan terbaik padanya. Apa-apa pun saya meminta kepada orang yang bakal ditinggalkan itu supaya berserah kepada Allah SWT. Hanya Allah yang mengetahui segala-galanya.

Bahasa Jiwa Bangsa

Saya agak kurang gemar apabila membaca sesuatu tidak kira SMS, blog (terpulang kepada tuan empunya blog) atau komen atau sebagainya yang menggunakan bahasa atau perkataan yang kurang difahami. Kita amat gemar meringkaskan perkataan sehingga amat sukar difahami dan menyebabkan pembacanya terpaksa menghabiskan beberapa saat masa lagi untuk cuba memahami maksudnya. Ditambah lagi dengan ringkasan yang tidak betul. Contoh:

"perompak skunk ni dh tak kire mase"
- pada mulanya saya ingatkan skunk tu apa...pada perkiraan saya ia merujuk kepada SEKARANG. Betul atau tidak saya pun tidak pasti.

"glg tng"
- pada perkiraan saya adalah GELANG TANGAN, tapi mungkin tersilap taip jadi macam tu

"umh"
-perkiraan saya merujuk kepada rumah

dan banyak lagi contoh yang saya rasa pembaca sendiri selalu mengalaminya.

Kata orang bahasa jiwa bangsa. Sekiranya bahasa tidak digunakan dengan betul, apakah maknanya kepada JIWA BANGSA itu?

Kisah Anak Tudung

Sejak daripada minggu ini Hazeeq dan Husna mula bersekolah di sekolah baru; sebuah TABIKA Islam. Setelah hampir "rabak" poket kedua ibu bapa mereka, mereka diberi dua pasang baju sekolah berwarna hijau. Baju Husna disertai dengan tudung dan anak tudung. Maka sesi perbincangan antara anak-anak dengan mamanya berlaku.

Hazeeq: Mama, ni kain apa? (merujuk kepada anak tudung Husna)
Husna: (menyampuk) tudung la abang..
Mama: Tu anak tudung die
Hazeeq dan Husna: Haaa...??anak tudung..??
Husna: Tudung pun ada anak ye ma...?
Mama: ye la...(sambil terus menyeterika baju sekolah mereka)
Hazeeq: Nanti anak tudung tu besar eehh ma..?
Mama: mana ada...(sambil malas nak layan)
Husna: Habis tu?
Mama: Macam tu la sampai bila-bila
Hazeeq: Ma..anak dia laki ke pompuan...?
Mama: (dalam hati..) adoii... sakit kepala la melayan dua budak ni...
            tudung mana ada jantina...
Hazeeq: Jantina tu apa ma...?
Mama: Lelaki atau perempuan...jantina tu sama ada lelaki atau perempuan
Hazeeq: Habis..anak tudung tu..?mesti lelaki
Husna: Mana ada..perempuan la...
Hazeeq: Kenapa mesti perempuan...asyik perempuan je..lelaki selalu takde
Husna: Ye la...lelaki mana ada tudung..(heheh..Husna punya pusing..)
Hazeeq: Ye la...asyik perempuan je menang.....

Perbualan mereka saya biarkan kerana badan sudah tidak larat lagi. Selesai menyeterika baju mereka, saya terus ke bilik tidur. Tinggal lah mereka dengan ayahnya pula bersoal jawab. Entah disoal ayahnya atau tidak, saya pun tidak pasti.