RSS

Tahun Baru Hijrah 1433, Semangat Baru

Salam semua. Setelah lama meninggalkan lapangan ini saya rasa ingin kembali menulis. Ini mungkin kerana perasaan di dalam begitu membuak-buak untuk saya meluahkan apa yang terbuku di dalam hati. Tapi saya tidak akan meluahkan semuanya pada entri kali ini. Mungkin sedikit demi sedikit, bergantung kepada masa dan keadaan saya.

Esok merupakan tahun baru Hijrah 1433. Ya, ia seolah-olah memberi pengertian baru kepada saya. Selama ini sambutan tahun baru islam dibiarkan berlalu begitu sahaja tanpa pengertian dan penghayatan yang sepatutnya. Namun, pada tahun ini ia sedikit sebanyak memberi gambaran baru kepada saya walaupun saya sendiri tidak pasti apa yang akan berlaku pada masa akan datang. 

Banyak perkara berlaku kepada saya selama beberapa bulan pada tahun ini. Ia dimulakan dengan dugaan yang berat kepada saya sekeluarga terutamanya saya dan suami. Anak-anak masih belum memahami situasi ini. Pada awal Ogos suami dimasukkan ke hospital kerana kencing berdarah dan dipendekkan cerita telah didiagnoskan dengan penyakit kanser buah pinggang. Menerima khabar sebegitu rupa, saya seolah memaksa diri untuk tidak bersedih di hadapan suami walaupun ada masanya saya menangis semahunya sendirian. Kami mengambil positif tentang perkara tersebut dan pada saya kami berjaya mengharunginya sekurang-kurangnya untuk setakat ini. Sebulan yang lalu iaitu 13 Oktober 2011, suami selamat menjalani pembedahan membuang sebelah daripada buah pinggang. Kalau ditanya apa perasaan mengalami pengalaman  sebegitu, memang saya tidak dapat menggambarkan rasa itu. Namun, saya bergantung sepenuhnya kepada Allah SWT. 

Kini suami saya sudah semakin sihat dan baru semalam beliau cuba-cuba memandu kereta. Kesan daripada pembedahan yang memakan masa lebih kurang 9 jam, tangan kanan suami dikatakan agak kurang sensitif atau dengan kata lain agak kebas berbanding sebelum ini. Usaha untuk memulihkan tangannya juga menjadi antara agenda yang agak penting sekarang. Saya lah orang yang membawa suami bertemu dengan tukang urut dan juga tabib semata-mata untuk mengurangkan kesulitan yang dialami.

Setelah itu, saya dikahabarkan dengan berita perpindahan suami ke sekolah di Melaka atas permohonan sendiri pada tahun depan 2012. Untuk menerima kenyataan itu pada awalnya memang terlalu berat dan saya memang tidak pernah menghalang niatnya. Saya tidak dapat bayangkan kepenatan yang bakal saya lalui dengan dua anak tanpa dia di sini. Sementelah lagi saya tidak mempunyai keluarga terdekat di sini. Namun, saya berdoa supaya Allah permudahkan segalanya untuk saya. Sekarang ini saya semakin tenang memikirkan perkara yang bakal dilalui oleh saya pada masa akan datang.

Hari ini, saya ingin ketepikan rasa sedih yang mengganggu. Saya bersedia secara mental dan fizikal untuk menghadapi cabaran baru di masa akan datang. Menyedari keadaan itu, ia seolah-olah ada semangat baru yang ditiup ke dalam tubuh ini untuk melakukan yang terbaik untuk diri sendiri dan keluarga. Saya tahu, setiap kesusahan akan disusuli dengan kemudahan dan kebahagiaan. Saya akan lalui segala keperitan dan saya akan menanti segala kemudahan dan kebahagiaan yang telah dijanjikan walaupun ia mungkin berlaku di dunia lain. Saya yakin Allah itu Maha Bijaksana, Maha Mengetahui dan Maha Adil ke atas hamba-hambanya.