RSS

Alasan

Semalam, saya dan dua orang rakan sekerja ke JB untuk menjenguk pelajar yang sedang melakukan latihan praktik di organisasi di sana. Asalnya bertolak pada jam 7 pagi, namum disebabkan masalah teknikal, terpaksa bertolak lambat bersama pemandu lebih kurang jam 9 pagi dan tiba di JB sekitar jam 11.30 pagi. Sepanjang perjalanan, kami begitu ceria, ada saja yang dibualkan dan di"lawak" kan. Jadual agak ketat kerana setiap orang mempunyai dua tempat untuk dilawati, dan semua sekali adalah enam tempat untuk dituju. Namun semuanya berjalan lancar. Di tambah pula cadangan tempat makan yang enak-enak oleh pemandu yang membawa kami.



Lebih kurang jam 4.30 petang semuanya sudah selesai. Walaupun badan terasa sakit-sakit kerana asyik terlambung-lambung dek jalan yang tidak rata. Kami bersolat di UiTM Kampus Bandaraya, dan terus untuk makan sup gear box di tempat yang dicadangkan oleh pemandu. Setelah kenyang, kami beransur pulang dan sampai di Segamat pada jam 10.30 malam.



Apa yang menarik ialah, soerang pelajar saya berpaktik di sebuah syarikat jepun. Uniknya, waktu masuk kerja adalah 8.20 pagi dan waktu pulang ialah jam 5.40 petang. Dalam pada itu, waktu rehat ada tiga kali iaitu, 10-11 pagi, 1-2 petang, 4-5 petang. Saya tanyakan, apa rasionalnya waktu kerja yang sebegitu, kenapa tidak digenapkan 8.30 masuk kerja dan balik 6.00 petang contohnya.Malangnya pelajar tersebut sendiri tidak tahu. Saya arahkannya untuk bertanya dan memberitahu jawapannya pada hari viva nanti.



Selesai cerita latihan praktik.



Semalam juga saya naik angin dengan beberapa pelajar yang saya rasakan tidak ada semangat untuk belajar. Mana tidaknya, pada minggu lepas, mereka sudah melakukan persembahan projek masing-masing. Ada beberapa kumpulan yang harus bentang sekali lagi kerana masalah yang mereka hadapi iaitu, projek tidak siap. Saya memberi peluang untuk membentang kepada mereka pada satu hari dalam minggu ini. Pada mulanya semuanya ok. Tetapi semalam, saya mendapat panggilan, seorang pelajar dari pantai timur tidak dapat hadir untuk membentang kerana tiket untuk datang kembali ke Segamat sudah habis (Note: sekarang adalah "study week" untuk pelajar yang mana pada saya mereka tidak perlu untuk pulang ke kampung, kalau pulang pun pandai-pandai lah untuk kembali semula mengikut apa yang dirancangkan). Pelajar tersebut mohon saya pertimbangkan dan mohon saya memberi markah percuma padanya kerana sebab tersebut. Saya jadi geram dan saya cuma menjawab, "tak ada tiket, tak ada pembentangan, tak ada markah". Pelajar tersebut terus diam dan letak telefon.



Lebih kurang jam 7 malam, seorang lagi pelajar yang lain menelefon saya menyatakan hal dan sebab yang sama. Ini lagi saya marah kerana pada saya tiada budi bahasa ketika bercakap dengan orang lain.



Pelajar: "Hello, sapa ni?" (dengan agak kasar)

Saya: (dalam keadaan terkejut)"Hello, awak nak bercakap dengan siapa?"

Pelajar: (dengan tanpa rasa bersalah dan selamba)"Puan Fadilah ada?"

Saya: "Saya bercakap, awak tak tahu nak bagi salam ke atau cakap elok-elok dengan orang?walaupun bukan dengan saya awak bercakap, tapi awak kena ada budi bahasa bila bercakap dengan orang lain."

Pelajar: "oh puan, saya ingat saya silap nombor."

Saya: "Kalau rasa salah nombor pun, tak terasa ke nak bercakap secara sopan dengan orang lain?"



Dia pun meneruskan percakapan. Seperti yang saya katakan tadi, dia memberitahu hal tidak dapat hadir pada pembentangan kerana tiket bas habis. Saya membalas jawapan yang sama dengan pelajar pertama tadi. Mana mungkin saya akan bagi markah percuma kepada mereka yang tidak hadir sama dengan mereka yang bersusah payah untuk hadir. Mana boleh. Dia cuba memujuk, namun saya terus matikan telefon.



Setelah itu, beberapa SMS masuk. SMS memujuk, antaranya:



SMS 1:

"alaaa tolong la puan, saya tahu puan baik hati...markah test tak cukup untuk carry marks..tolong ye puan, saya sangat mengharapkan puan kali ini...tq puan..semoga Allah memudahkan kerja puan selepas ini"



SMS 2:

"Salam, maaf mengganggu puan. Saya MOHD ******, dari kelas *** tak dapat menghadiri pembentangan projek kerana tiada tiket balik segamat. Mohon jasa budi baik puan dapat consider..harap maklum, terima kasih."



SMS 3:

"Salam, Saya ******, esok saya tidak dapat hadir untuk presentation sebab sekarang saya di T*********, tiket untuk balik ke Segamat da habis..so boleh puan pertimbangkan..?"



Dalam hati terasa membara. Pada saya, terpulang kepada mereka untuk fikir sendiri dan saya tidak akan memberi markah-markah percuma untuk mereka yang berkenaan. Kepada yang menelefon semalam, memang saya bagi "lecture" supaya mereka faham dan belajar. Tapi saya rasa mereka tidak belajar. Saya malas melayan mereka yang tidak ada semangat untuk belajar dan sentiasa memberi alasan.

Cyber Security Awareness

Hari ini merupakan hari terakhir kelas untuk pelajar pada semester ini. Rasa lega yang amat sangat. Selepas ini beberapa perkara yang asyik tertangguh dapat diberi perhatian terutamanya untuk penyelidikan dan penulisan. Saya berdoa supaya di permudahkan untuk menyiapkan semuanya.
Minggu hadapan, ada satu lagi program yang saya uruskan. Program yang "simple" tetapi bermanfaat pada kiraan saya. Ia adalah satu sesi ceramah berkaitan dengan keselamatan ketika melayari alam siber. Siri ceramah ini dibuat khusus untuk semua staf di sini. Kalau diikutkan agak lewat saya memulakannya. Kertas kerja diluluskan pada 31 Mac 2009 dan program akan berjalan pada 16 April 2009. Saya memulakan mesyuarat AJK iaitu pada 9 April 2009.
Pada hujung minggu yang lalu, hati terasa berbelah bahagi sama ada ingin meneruskan atau pun menangguhkan. Saya pernah mengadu pada seorang rakan sekerja berkaitan dengan hal ini. Mana tidaknya, mesyuarat yang selewat itu, pada saya agak mencemaskan, di tambah lagi dengan untuk mengumpul jumlah peserta yang disasarkan seramai 100 orang itu bukan satu perkara yang mudah untuk dilakukan di sini. Seorang staf di sini bertanya kepada saya, "boleh ke awak cari 100 orang ni..?". Saya kata padanya "InsyaAllah..".
Sebelum ke mesyuarat, saya emelkan untuk mewar-warkan kepada semua staf. Alhamdulillah, respon yang saya dapat amat menggalakkan. Sebelum masuk mesyuarat, beberapa jam selepas diemel, sebanyak 28 penyertaan dikumpul. Dan sehingga hari ini, iaitu hari kedua selepas makluman tersebut, sudah mencecah 70 orang peserta. Alhamdulillah, saya amat bersyukur dengan semua ini. Saya yakin dan berdoa semoga program ini akan mencecah 100 orang penyertaan seperti angka yang disasarkan atau pun lebih.

Setakat ini semua yang dirancang berjalan seperti yang diharapkan. Saya sentiasa berdoa di dalam hati agar semuanya akan berjalan dengan sebaiknya. Amin.

Entri

Blog ini semacam sudah lama tiada entri. Nak kata sibuk, tidak lah sangat. Saya selalu masuk blog tetapi untuk membaca blog orang lain. Dulu berjanji pada diri, apabila selesai program IT Showcase, saya akan tulis blog. Entri ini dibuat selepas selesai program tersebut.


Selesai program hari ini saya terasa lega. Program IT Showcase dan Seminar telah berakhir dengan jayanya. Petang tadi saya termenung jauh memikirkan segala perkara yang berlaku pada hari ini. Kalau boleh diundurkan masa, saya mahu memperbetulkan apa yang silap tadi. Menganjurkan program dengan pelajar kadang kala memenatkan. Pada saya mereka semua bagus dan rajin bekerja tetapi ia memerlukan pemerhatian yang tidak boleh kurang. Sebagai contoh, dari segi protocol, saya telah berusaha sedaya mungkin untuk tidak mengambil mudah perkara membabitkan protocol, tetapi ada juga silapnya. Saya tidak salahkan pelajar, mungkin kesilapan datang daripada saya sendiri. Mungkin saya terlalu percaya kepada mereka mengakibatkan saya terlepas pandang kepada perkara yang saya kira tidak boleh berlaku kesilapan. Rasa kesal memang ada dalam hati, seperti yang saya katakana tadi, kalau lah saya masa itu boleh diundurkan, saya ingin memperbetulkan apa yang patut. Namun semua itu mustahil, yang pasti semua itu dapat saya pelajari untuk tidak mengulanginya pada masa akan datang.

Mengenang kembali ‘kepenatan’ menguruskan projek di bawah subjek ini, kadang kala saya terasa ingin melepaskannya kepada orang lain. Mungkin pensyarah lain mempunyai idea yang lebih bagus dan mempunyai kredibiliti masing-masing di dalam menguruskan sesuatu projek. Untuk semester akan datang saya masih belum terfikir apa projek yang patut dilakukan untuk memenuhi keperluan silibus ini. Mungkin sekiranya subjek ini diberi kepada pensyarah lain, akan ada projek baru yang lebih memberi impak besar kepada fakulti dan juga kepada institusi ini.

Saya lega dan puas apabila program yang dianjurkan oleh subjek ini pada semester ini telah memberi input berguna kepada jabatan-jabatan yang lain. itu sebenarnya yang ingin saya lakukan. Dulu orang lain memberi laluan kepada saya, kali ini giliran saya pula akan memberi laluan yang baik kepada mereka yang sepatutnya. Saya puas kerana mendapat maklumbalas yang baik daripada beberapa pihak. Pada masa akan datang, pada saya ia amat bagus sekiranya dilaksanakan lagi.
Ditulis pada 23 Mac 2009