RSS

KEMAS yang TIDAK KEMAS

Berurusan dengan orang yang dikatakan "KEMAS" tetapi hakikatnya "TIDAK" memang menyakitkan kepala saya. Orang - orang ini sepatutnya menjaga kebajikan semua orang di bawahnya. Bukannya menganiaya dan mengambil kesempatan. Saya tidak tahu apa kerja yang dilakukan oleh golongan ini. Mesyuarat sana sini kononnya terlalu sibuk namun hasilnya tidak seperti yang digambarkan.
Sebelum ini, ketika mula-mula berurusan dengan mereka ini, sudah timbul kekecohan yang pada asalnya tiada apa-apa pun. Mereka ingin melakukan projek di dalam kawasan orang lain sepatutnya mengetahui prosedur atau pun paling tidak "memberi salam" kepada tuan empunya kawasan. Apa yang telah berlaku adalah, mereka main terjah sehingga menimbulkan rasa kurang senang orang lain. Maklumlah, sebelum ini mereka hanya berurusan dengan orang-orang kampung yang mereka boleh perbodohkan dengan sewenangnya. Kali ini bertemu buku dan ruas. Mereka berurusan dengan orang terpelajar yang mementingkan profesionaliti dalam berurusan. Sudahnya mereka sendiri yang gelabah dan kecoh sendiri sehingga hal yang asalnya kecil diperbesar-besarkan sehingga ke pengetahuan orang atasan. Orang atasannya pulak tidak tahu orang bawahannya tidak tahu membuat kerja dengan baik. Saya menyatakan perihal orang yang sepatutnya "KEMAS" tetapi "TIDAK KEMAS".
Sehingga kini, projek tersebut yang dianggap seperti PERMATA itu siap dan dikatakan menelan belanja sehingga RM 300 ribu. Dengan bajet tersebut, saya ingatkan pembinaan sebuah bangunan yang besar lengkap dengan "segala-galanya". Namun indah khabar dari rupa. Apabila siap, tiba lah hari serahan bangunan. Secara logik akal orang yang tidak pandai seperti saya ini, sebelum diserahkan bangunan, seseorang yang dipertanggungjawabkan itu haruslah masuk ke tempat itu dan memeriksa bangunan tersebut sama ada memenuhi kriteria yang ditetapkan atau tidak. Sekiranya semuanya dalam keadaan baik, barulah boleh diterima bangunan tersebut. Namun, mungkin konsep orang yang sepatutnya "KEMAS"tetapi "TIDAK KEMAS" ini, cukuplah sekadar menyiapkan bangunan tersebut tanpa memeriksanya dengan rapi. Maklumlah, sibuk memanjang, mesyuarat sana sini, pagi dan petang.
Masalah lain timbul apabila membenarkan kanak-kanak tersebut beserta gurunya untuk berpindah tanpa ada sebarang surat kebenaran. Apabila sudah pindah, projek yang dikatakan RM 300 ribu itu seolah-olah bernilai 30 sen. Kenapa? Kerana dengan bumbungnya yang bocor sehingga ada kanak-kanak di sana terjatuh disebabkan air hujan menitik. Tidak cukup dengan itu, lubang di bilik air tersumbat, sinki tidak keluar air, kepala paip hampir tercabut, paip sinki dapur tidak keluar air dan macam-macam lagi. Bila dapat tahu, saya naik marah, sebab semasa dalam pembikinan, saya ada pergi menjenguk tapak, namun apabila ditanya atau komplen, saya dijawab dengan kurang ajarnya oleh "orang kampung" yang kerjanya hanya tahu buat itu sahaja. Kononnya orang yang "KEMAS" namun "TIDAK KEMAS" ini sudah mengatakan semuanya baik. Saya cuba mencari wakil mereka untuk "bertanya khabar" berkenaan kes ini. Namun, mereka tiada di pejabat, maklumlah sibuk. Sebaik mengetahui kehadiran saya di sana, mereka gelabah dan kecoh. Siap marahkan gurunya dan menuduh kononnya gurunya itu mengadu kepada JawatanKuasa Ibu Bapa.
Pada saya, apa yang saya lakukan ini adalah tanggungjawab dan hak saya untuk memastikan kanak-kanak di taska tersebut berada di tempat yang selamat. Yang paling saya hairan, apa signifikannya apabila terdapat sebuah "dacing" di tanam di dalam kolam renang yang saya sendiri tidak tahu siapa akan menyelenggarakannya.

Kursus

Saya tengah pening sekarang. Sebab itu saya menulis entri ini. Semalam, baru selesai kursus yang dianjurkan oleh Unit Teknologi Maklumat di sini dan saya sebagai penceramahnya. Kursus yang dianjurkan kepada staf di sini adalah berkaitan dengan penggunaan Office Application 2007 secara "hands-on". Saya berusaha melengkapkan diri dengan pengetahuan berdasarkan silibus yang diberi dan juga pengalaman sendiri. Masa yang diberikan untuk persediaan terlalu singkat untuk saya. Menjadi penceramah kepada staf di sini terasa berlainan sekali. Amat lain berbanding mengajar para pelajar. Namun, setelah semuanya selesai, saya rasa amat lega dan seronok kerana dapat berkongsi ilmu dengan mereka yang memerlukan. Ia adalah permulaan yang baik untuk saya mendapatkan pengalaman dan juga meneruskan kursus-kursus lain pada masa akan datang. Amin.

Tanggungjawab

Selama hampir setahun saya menjadi AJK Ibu Bapa Taska/Tadika di sini. Antara tugas yang selalu diambil berat ialah menjaga kebajikan semua pihak iaitu pihak guru, ibubapa dan paling penting anak-anak yang dihantar ke sana. Keluhan yang paling kerap saya dengari ialah masalah pemakanan. Sejak daripada awal terlibat dengan AJK ini, masalah pemakanan selalu dipersoalkan oleh ibubapa. Setiap kali komplen atau keluhan dikeluarkan, saya akan memaklumkan dan memberi peringatan kepada guru-guru di taska/tadika tersebut untuk membetulkan keadaan. Menu yang telah diaturkan oleh pihak atasan seharusnya diikut sepenuhnya oleh tukang masak dan penjaga di taska. Namun alasan yang diberikan ialah kadang-kadang anak-anak itu sendiri tidak mahu makan. Malah mereka merasakan ingin memaksa anak-anak itu makan walaupun mereka menolak. Saya dan AJK lain juga bermesyuarat dan menyarankan agar menu itu divariasikan mengikut kesesuaian yang telah digariskan. Namun, sehingga ke saat ini, ada lagi aduan berkenaan dengan pemakanan tersebut.
Saya tidak meyalahkan penjaga dan tukang masak di sana 100%. Ini kerana apabila saya sendiri menghadirkan diri ke sana, saya akan menjenguk apa yang di masak atau di makan oleh anak-anak tersebut. Mungkin kebetulan, mereka makan mengikut masa dan menu yang telah diaturkan. Jadi, apa masalahnya lagi. Saya tidak mampu untuk berada di taska/tadika tersebut selama 8 jam sehari semata-mata untuk memastikan menu yang dimasak mengikut apa yang telah digariskan. Saya sentiasa berfikir, bagaimana masalah ini boleh diselesaikan. Agar tiada lagi ibubapa yang akan mengadu perihal anak-anak mereka lapar apabila pulang dari sana. Lama berfikir, jawapan yang saya perolehi ialah, ibubapa tidak boleh mengharapkan pihak taska/tadika 100% untuk mengenyangkan anak-anak mereka setiap kali dihantar di sana. Anak saya sendiri terlihat "kelaparan" mereka ketika pulang. Namun, pada saya, saya lah orang yang bertanggungjawab untuk menghilangkan kelaparan mereka itu walau apa pun yang diberikan oleh penjaga mereka di taska.

Marking In Progress...

Hampir sebulan tidak mengemaskini blog. Hari ini terlintas untuk mengisi apa yang patut. Sekarang di sini adalah musim peperiksaan. Saya baru selesai menyudahkan kerja-kerja berkenaan dengan penandaan kertas peperiksaan dan juga memasukkan markah. Melihat kepada prestasi pelajar, ada yang boleh dibanggakan dan ada yang mengecewakan. Yang bangganya, mereka yang saya pernah tuliskan di blog ini menunjukkan prestasi yang baik (nota: saya tidak menyatakan di sini gred yang mereka dapat). Kenapa? Mungkin kerana mereka telah meminta maaf kepada saya. Mungkin juga mereka berusaha dengan lebih tekun untuk subjek tersebut. Atau pun memang sudah termaktub rezeki mereka. Saya tidak berdendam. Mereka meminta maaf, saya maafkan dan saya halalkan ilmu yang saya curahkan. Cuma ada segelintir pelajar yang memang tidak pernah belajar dari kesilapan lalu. Tinggal lah mereka dengan angan-angan mereka. Hanya mengharapkan kelulusan tanpa mahu berusaha. Saya yakin, ke mana pun mereka pergi, sekiranya sikap tidak diubah, mereka tidak akan ke mana.