RSS

Tanggungjawab

Selama hampir setahun saya menjadi AJK Ibu Bapa Taska/Tadika di sini. Antara tugas yang selalu diambil berat ialah menjaga kebajikan semua pihak iaitu pihak guru, ibubapa dan paling penting anak-anak yang dihantar ke sana. Keluhan yang paling kerap saya dengari ialah masalah pemakanan. Sejak daripada awal terlibat dengan AJK ini, masalah pemakanan selalu dipersoalkan oleh ibubapa. Setiap kali komplen atau keluhan dikeluarkan, saya akan memaklumkan dan memberi peringatan kepada guru-guru di taska/tadika tersebut untuk membetulkan keadaan. Menu yang telah diaturkan oleh pihak atasan seharusnya diikut sepenuhnya oleh tukang masak dan penjaga di taska. Namun alasan yang diberikan ialah kadang-kadang anak-anak itu sendiri tidak mahu makan. Malah mereka merasakan ingin memaksa anak-anak itu makan walaupun mereka menolak. Saya dan AJK lain juga bermesyuarat dan menyarankan agar menu itu divariasikan mengikut kesesuaian yang telah digariskan. Namun, sehingga ke saat ini, ada lagi aduan berkenaan dengan pemakanan tersebut.
Saya tidak meyalahkan penjaga dan tukang masak di sana 100%. Ini kerana apabila saya sendiri menghadirkan diri ke sana, saya akan menjenguk apa yang di masak atau di makan oleh anak-anak tersebut. Mungkin kebetulan, mereka makan mengikut masa dan menu yang telah diaturkan. Jadi, apa masalahnya lagi. Saya tidak mampu untuk berada di taska/tadika tersebut selama 8 jam sehari semata-mata untuk memastikan menu yang dimasak mengikut apa yang telah digariskan. Saya sentiasa berfikir, bagaimana masalah ini boleh diselesaikan. Agar tiada lagi ibubapa yang akan mengadu perihal anak-anak mereka lapar apabila pulang dari sana. Lama berfikir, jawapan yang saya perolehi ialah, ibubapa tidak boleh mengharapkan pihak taska/tadika 100% untuk mengenyangkan anak-anak mereka setiap kali dihantar di sana. Anak saya sendiri terlihat "kelaparan" mereka ketika pulang. Namun, pada saya, saya lah orang yang bertanggungjawab untuk menghilangkan kelaparan mereka itu walau apa pun yang diberikan oleh penjaga mereka di taska.

0 comments: