RSS

Kami Tak Suka Membaca puan..!!

Kelas pagi ini merupakan kelas terakhir saya pada semester ini. Rasa puas hati kerana semuanya sudah tercurah. Selesai silibus dan juga perbincangan soalan-soalan peperiksaan yang lepas, semuanya rasanya sudah diajar semua. Cara menjawab soalan dan juga cara pemarkahan. Seolah-olahnya zaman budak-budak nak menduduki peperiksaan SPM gayanya. Tinggal sekarang adalah usaha mereka iaitu para pelajar sendiri. Sekiranya mereka tidak berusaha, bagi lah apa pun mereka memang tidak mampu menjawab soalan walaupun yang paling mudah.

Ketika mengembalikan semula kertas ujian pertama yang telah ditanda, saya memang kecewa dengan kumpulan pelajar ini. Soalan yang terlalu...saya ulangi..TERLALU senang untuk dijawab, juga tidak boleh dijawab oleh mereka. Markah yang diperolehi adalah bawah 25 (markah penuh adalah 50). Saya tidak tahu di mana silapnya lagi. Mengajar mereka dengan sepenuh jiwa rasanya amat tidak berbaloi kerana pulangan yang saya dapat tidak seperti yang dijangkakan. Saya tidak mengahrapkan apa-apa, cukuplah dengan gred yang elok. Itu sahaja. Di tambah pula dengan ujian 2 baru-baru ini, saya jangkakan lagi rendah markah yang mereka perolehi daripada ujian 1. Di mana usaha mereka? Mereka membeli buku teks kerana disuruh oleh pensyarah. Suruh baca buku teks itu pun diberi alasan tidak faham bahasa Inggeris. Suruh buka kamus untuk mencari maksud perkataan di dalam buku teks, alasan malu diberikan. Mereka lagi megah dengan alasan malu untuk membuka kamus, walhal apabila melakukan perkara tidak senonoh mereka tidak tahu erti malu. Ini lah dia pelajar sekarang. Hanya tahu menyalahkan pensyarah sahaja, diri sendiri sentiasa tidak salah.

Pernah satu ketika bersembang dengan pelajar di dalam kelas, menceritakan isu semasa sekarang. Apabila bertanya tentang isu tersebut, mereka menjawab langsung tidak tahu menahu tentang perkara itu. Alasan diberikan tidak ada televisyen di asrama sebab itu tidak tahu hal ehwal semasa yang berlaku di dunia ini. Saya tanyakan balik, kenapa tidak baca berita di dalam suratkhabar, jawapan mereka tidak membeli surat khabar sebab itu tidak baca. Saya katakan lagi, kenapa tidak baca akhbar online, sekarang senang nak capai, wifi dan broadband di mana-mana di kampus ini. Mereka dengan lantang menjawab "TAK SUKA MEMBACA, puan..". Mendengarkan itu yang mana memnag pantang bagi saya, saya bebelkan mereka cukup-cukup. Tak tahu malu punya budak, awak tu dah nama pun PELAJAR, berani bagi alasan tak suka membaca. Terus saya cabar budak itu, kalau itu alasan yang diberi, berhenti belajar sekarang dan cari kerja setakat kelulusan yang ada. Cuma nak tengok kerja apa yang dia dapat. Mereka terus membatukan diri. Itu lah isunya. TIDAK SUKA MEMBACA.

Kesimpulannya, sekiranya pelajar ini tidak mengubah perangai mereka, mereka akan seperti itu sehingga ke tua. Yang pastinya mereka ini terlalu banyak dengan alasan, manja, tidak mahu berusaha, hanya tunggu disuap sahaja. Kadang-kadang, yang dah disuap siap penyarah tutupkan mulut supaya masuk ke dalam perut, pun mereka tidak dapat keluarkan balik di atas kertas peperiksaan.

Apabila Pelajar Menyumpah

Sebentar tadi saya bersembang dengan seorang pelajar perempuan yang baru selesai mengambil kuiz di pejabat. Daripada hal berkaitan dengan keluarga sehinggalah kepada isu yang agak hangat diperkatakan terutamanya di fakulti saya sendiri ketika ini. Ia adalah pensyarah bermasalah, bukan pelajar bermasalah. Pelajar bermasalah adalah perkara biasa di institusi pengajian tinggi, kadang-kadang sehingga menjangkau masalah yang tidak masuk akal. Namun, hal di sini adalah pensyarah yang bermasalah, hanya seorang dua, yang lain adalah pensyarah cemerlang semua.

Cerita punya cerita, pelajar itu mengatakan yang salah seorang pensyarah yang dimaksudkan itu sentiasa menjadi bahan "sumpahan" pelajar. Kerana apa? Ini adalah kerana mereka marah apabila ilmu yang sepatutnya mereka dapat daripada pensyarah tersebut, tidak diperolehi sepenuhnya. Dengan kata lain pensyarah ponteng kelas atau tidak mengajar dengan sepatutnya. Paling saya terkejut apabila ada pelajar mengeluarkan pernyataan ini. "Saya tak suka pensyarah itu!! Kalau dia dapat anak saya sumpah anak dia akan jadi hodoh, buruk macam hantu."Astaghfirullahal Azimm..saya beristighfar.

Saya nasihatkan mereka jangan mendoakan keburukan orang lain walaupun apa yang kita dapat daripada mereka tidak seperti yang kita harapkan. Tugas pelajar adalah belajar walau apa pun masalah, jangan salahkan pensyarah walaupun pada hakikatnya memang pensyarah mereka memang begitu. Kalau tidak dapat dengan pensyarah itu, dapatkan daripada sumber lain, tapi tolong jangan doakan sebegitu kepada orang lain. Pelajar tersebut hanya mengiyakan sahaja.

Namun di sebalik semua itu, saya memuhasabah diri. Memikirkan keadaan sekeliling, tiba-tiba saya terfikir, adakah pelajar ini (yang tidak mendapat apa yang sepatutnya mereka dapat daripada pensyarah seperti saya) tergolong dalam golongan orang teraniaya? Sekiranya ya, maka berhati-hati lah wahai diri ini kerana doa orang yang teraniaya ini amat makbul di sisi Allah SWT. Pengajaran ada di depan mata, sama ada ia adalah kebetulan atau sememangnya sudah ditakdirkan sebegitu, hanya Allah yang Maha Mengetahui. Wallahu A'lam.

Di manakah Keadilan?

Apakah yang dimaksudkan dengan adil? Adil adalah meletakkan sesuatu kena pada tempatnya, bukan kesamarataan. Dalam konteks kehidupan, adil dilihat mempunyai skop yang lebih besar. Apabila ibubapa membelikan baju perempuan kepada anak perempuannya, maka ia menjadi tidak adil sekiranya membelikan baju yang sama kepada anak lelakinya. Begitu juga perihal seseorang yang selalu melanggar peraturan terlalu diberi peluang dengan harapan agar dia berubah. Tidak salah memberi peluang. Malangnya orang yang selalu melanggar peraturan itu langsung tidak menghargai peluang yang telah diberikan oleh pihak pengurusan dan selalu mengulangi kesilapan yang sama. Apatah lagi untuk insaf.

Sebagai contoh, adilkah seseorang yang selalu ponteng kerja dan ponteng kelas diberi pelepasan demi pelepasan hanya disebabkan oleh alasan yang seolah-olah dibuat-buat. Kenapa saya berkata begitu? Ini kerana alasan yang diberikan tidak disertakan dengan bukti yang menunjukkan dia mempunyai masalah itu. Contohnya, alasan yang diberikan adalah tidak mampu bangun pagi untuk bekerja kerana akan menyebabkan sakit kepala. Sekiranya betul apa yang dikatakan, sepatutnya disertakan dengan bukti, mungkin pengesahan doktor yang menyatakan keadaan yang dihadapi oleh orang tersebut. Dengan alasan tempat tinggal yang jauh contohnya, dia diberi pelepasan untuk tidak ada kelas yang bermula pada jam 8 pagi ataupun tidak ada kelas pada sebelah petang iaitu jam 4 petang atau pun malam. Sampai begitu istimewanya makhluk ini sehingga diberi kelonggaran yang pada saya sukar diterima akal. Tidak cukup dengan itu, cuti sakit yang sehingga melebihi 3 hari berturut-turut juga dijadikan sebab untuk tidak datang bekerja atau masuk ke kelas. Itu semua adakah disertakan dengan bukti yang kukuh? Setahu saya, bagi pegawai kerajaan, untuk bercuti sehingga 3 hari berturut-turut adalah memerlukan pengesahan pakar daripada Hospital Kerajaan. Kalau setakat doktor biasa di klinik panel, itu memang tidak dibenarkan. Namun, adakah pihak pengurusan memandang semua itu? Seolah-olahnya tidak kerana orang itu masih diberi peluang yang sebanyaknya dan masih dengan harapan agar berubah. Itu belum ditambah lagi dengan hal-hal lain yang menyusahkan rakan sekerja yang saya rasa tidak perlu saya nyatakan di sini.

Sebagai akibatnya, disebabkan masalah yang dia ciptakan sendiri (mungkin), orang lain yang harus tanggung. Apabila tidak masuk ke kelas, para pelajar lah yang menjadi mangsa. Mereka tidak diberikan ilmu yang secukupnya seperti yang tercatat di dalam silibus. Mereka mungkin gagal untuk menjawab soalan peperiksaan. Kawan-kawan sekerja harus mengambil alih kelas yang ditinggalkan oleh si dia. Sudah ditolong, semakin menjadi-jadi seolah-olah orang lain tidak ada kerja, tidak ada masalah seperti dia. Ditambah pula apabila si dia tidak boleh ada kelas seawal jam 8 pagi atau selewat 8 malam, kawan-kawan sekerja yang lain yang harus menanggung. Orang lain wajib ada kelas jam 8 pagi dan sebolehnya mesti ada kelas pada waktu malam, tetapi si dia, disebabkan peluang yang diberikan supaya dia berubah, dia tidak dibolehkan ada kelas jam 8 pagi dan kelas jam 8 malam. Kenapa? Hanya disebabkan alasan-alasan yang tidak munasabah yang diberikan. Apakah semua ini adil pada mereka yang tidak bersalah? Yang merupakan orang yang sentiasa memegang amanah dan bertanggungjawab ke atas kerjanya? Adakah adil semua ini?

Bak kata suami saya, selagi manusia mentadbir, selagi itu lah keadilan sepenuhnya tidak akan berlaku. Itu lah kelemahan manusia. Jadi, berharap lah kepada Allah, kerana hanya Dia yang Maha Adil. Dia yang Maha Mengetahui. Orang seperti itu harus ingat, adakah dengan berbuat demikian dia boleh hidup aman damai di atas dunia ini? Adakah rezeki yang dia dapat hasil daripada pekerjaan itu berkat? Semua itu hanya dia dan Allah sahaja yang tahu. Akhir kalam.

Anak-anak ku...lagi..

Setiap pagi apabila menghantar mereka ke sekolah, saya akan berusaha untuk mengubah situasi atau perasaan anak-anak saya yang agak "liat" untuk ke sekolah baru mereka, terutamanya Husna. Kebanyakan hari, setiap pagi saya agak tertekan kerana "perangai" yang dibuat oleh salah seorang daripada mereka untuk tidak ke sekolah. Jadi, sebolehnya, ketika perjalanan ke sekolah, saya cuba untuk menggembirakan hati mereka dengan berteka-teki, atau bercerita tentang apa sahaja.

Pada pagi ini, saya agak kagum dengan Husna dengan pengetahuan yang ada pada dia dan kadang-kadang saya "termalu" dengan Hazeeq kerana sesetengah doa yang mereka pelajari di sekolah tidak saya hafal.

Hazeeq: Mama, cantiknya awan...bergulung-gulung...kenapa awan tutup yang biru tu (langit)...?
Mama : Allah yang suruh...dia buat la..semua benda dalam dunia ni kene ikut suruhan Allah..kalau 
            Allah cakap banjir, maka, banjir lah Segamat ni..kalau Allah suruh solat, kena lah 
            solat..kalau tak..berdosa.
Husna : Allah cakap macam tu ke mama?
Mama : Ye la..
Husna : Tak la mama...Allah cakap KUN...FAYAKUN..
Mama : A'aahh...mama lupa..(saya tak terfikir mereka tahu pasal tu...agak malu sendiri)
Hazeeq: Mama..doa masuk kenderaan macam mana..?
Mama: Alahai...mama tak ingat la..
Hazeeq: Kata mama ni pensyarah...kenapa mama tak tahu..??
Mama: dulu masa mama tadika, mama ingat...sekarang dah lupa...(kena lagi..)
Hazeeq: Mama dah tua ekk...sebab tu mama lupa..
Mama : (Dalam hati) adoii budak-budak ni...sabar je la aku..!!

Begitu lah anak-anak saya, kedua-duanya agak manja walaupun saya sendiri memang garang dengan anak-anak. Mereka tidak berapa gemar dengan taski tersebut kerana dikatakan guru-guru di situ agak garang. Saya biarkan mereka di situ supaya mereka belajar liku-liku dalam menuntut ilmu. Adalah tugas saya untuk menghadapi kerenah mereka setiap hari.