RSS

Kami Tak Suka Membaca puan..!!

Kelas pagi ini merupakan kelas terakhir saya pada semester ini. Rasa puas hati kerana semuanya sudah tercurah. Selesai silibus dan juga perbincangan soalan-soalan peperiksaan yang lepas, semuanya rasanya sudah diajar semua. Cara menjawab soalan dan juga cara pemarkahan. Seolah-olahnya zaman budak-budak nak menduduki peperiksaan SPM gayanya. Tinggal sekarang adalah usaha mereka iaitu para pelajar sendiri. Sekiranya mereka tidak berusaha, bagi lah apa pun mereka memang tidak mampu menjawab soalan walaupun yang paling mudah.

Ketika mengembalikan semula kertas ujian pertama yang telah ditanda, saya memang kecewa dengan kumpulan pelajar ini. Soalan yang terlalu...saya ulangi..TERLALU senang untuk dijawab, juga tidak boleh dijawab oleh mereka. Markah yang diperolehi adalah bawah 25 (markah penuh adalah 50). Saya tidak tahu di mana silapnya lagi. Mengajar mereka dengan sepenuh jiwa rasanya amat tidak berbaloi kerana pulangan yang saya dapat tidak seperti yang dijangkakan. Saya tidak mengahrapkan apa-apa, cukuplah dengan gred yang elok. Itu sahaja. Di tambah pula dengan ujian 2 baru-baru ini, saya jangkakan lagi rendah markah yang mereka perolehi daripada ujian 1. Di mana usaha mereka? Mereka membeli buku teks kerana disuruh oleh pensyarah. Suruh baca buku teks itu pun diberi alasan tidak faham bahasa Inggeris. Suruh buka kamus untuk mencari maksud perkataan di dalam buku teks, alasan malu diberikan. Mereka lagi megah dengan alasan malu untuk membuka kamus, walhal apabila melakukan perkara tidak senonoh mereka tidak tahu erti malu. Ini lah dia pelajar sekarang. Hanya tahu menyalahkan pensyarah sahaja, diri sendiri sentiasa tidak salah.

Pernah satu ketika bersembang dengan pelajar di dalam kelas, menceritakan isu semasa sekarang. Apabila bertanya tentang isu tersebut, mereka menjawab langsung tidak tahu menahu tentang perkara itu. Alasan diberikan tidak ada televisyen di asrama sebab itu tidak tahu hal ehwal semasa yang berlaku di dunia ini. Saya tanyakan balik, kenapa tidak baca berita di dalam suratkhabar, jawapan mereka tidak membeli surat khabar sebab itu tidak baca. Saya katakan lagi, kenapa tidak baca akhbar online, sekarang senang nak capai, wifi dan broadband di mana-mana di kampus ini. Mereka dengan lantang menjawab "TAK SUKA MEMBACA, puan..". Mendengarkan itu yang mana memnag pantang bagi saya, saya bebelkan mereka cukup-cukup. Tak tahu malu punya budak, awak tu dah nama pun PELAJAR, berani bagi alasan tak suka membaca. Terus saya cabar budak itu, kalau itu alasan yang diberi, berhenti belajar sekarang dan cari kerja setakat kelulusan yang ada. Cuma nak tengok kerja apa yang dia dapat. Mereka terus membatukan diri. Itu lah isunya. TIDAK SUKA MEMBACA.

Kesimpulannya, sekiranya pelajar ini tidak mengubah perangai mereka, mereka akan seperti itu sehingga ke tua. Yang pastinya mereka ini terlalu banyak dengan alasan, manja, tidak mahu berusaha, hanya tunggu disuap sahaja. Kadang-kadang, yang dah disuap siap penyarah tutupkan mulut supaya masuk ke dalam perut, pun mereka tidak dapat keluarkan balik di atas kertas peperiksaan.

0 comments: