RSS

Apabila Pelajar Menyumpah

Sebentar tadi saya bersembang dengan seorang pelajar perempuan yang baru selesai mengambil kuiz di pejabat. Daripada hal berkaitan dengan keluarga sehinggalah kepada isu yang agak hangat diperkatakan terutamanya di fakulti saya sendiri ketika ini. Ia adalah pensyarah bermasalah, bukan pelajar bermasalah. Pelajar bermasalah adalah perkara biasa di institusi pengajian tinggi, kadang-kadang sehingga menjangkau masalah yang tidak masuk akal. Namun, hal di sini adalah pensyarah yang bermasalah, hanya seorang dua, yang lain adalah pensyarah cemerlang semua.

Cerita punya cerita, pelajar itu mengatakan yang salah seorang pensyarah yang dimaksudkan itu sentiasa menjadi bahan "sumpahan" pelajar. Kerana apa? Ini adalah kerana mereka marah apabila ilmu yang sepatutnya mereka dapat daripada pensyarah tersebut, tidak diperolehi sepenuhnya. Dengan kata lain pensyarah ponteng kelas atau tidak mengajar dengan sepatutnya. Paling saya terkejut apabila ada pelajar mengeluarkan pernyataan ini. "Saya tak suka pensyarah itu!! Kalau dia dapat anak saya sumpah anak dia akan jadi hodoh, buruk macam hantu."Astaghfirullahal Azimm..saya beristighfar.

Saya nasihatkan mereka jangan mendoakan keburukan orang lain walaupun apa yang kita dapat daripada mereka tidak seperti yang kita harapkan. Tugas pelajar adalah belajar walau apa pun masalah, jangan salahkan pensyarah walaupun pada hakikatnya memang pensyarah mereka memang begitu. Kalau tidak dapat dengan pensyarah itu, dapatkan daripada sumber lain, tapi tolong jangan doakan sebegitu kepada orang lain. Pelajar tersebut hanya mengiyakan sahaja.

Namun di sebalik semua itu, saya memuhasabah diri. Memikirkan keadaan sekeliling, tiba-tiba saya terfikir, adakah pelajar ini (yang tidak mendapat apa yang sepatutnya mereka dapat daripada pensyarah seperti saya) tergolong dalam golongan orang teraniaya? Sekiranya ya, maka berhati-hati lah wahai diri ini kerana doa orang yang teraniaya ini amat makbul di sisi Allah SWT. Pengajaran ada di depan mata, sama ada ia adalah kebetulan atau sememangnya sudah ditakdirkan sebegitu, hanya Allah yang Maha Mengetahui. Wallahu A'lam.

2 comments:

Saya said...

ngeri la Lah. Takut jugak..kita tak tahu kalu ade pelajar yg x suka kita kan....

fadilah said...

tu la k.yus..risau jugak..tapi kalau kita mengajar elok..tanggungjawab pada mereka selesai, rasanya takde masalah..diorang ni marah pada mereka yang bermasalah..k.yus pun tahu kan..