RSS

PEPERIKSAAN SEDANG BERJALAN?

Minggu peperiksaan sudah menghampiri penghujungnya. Semua subjek yang saya ajar pun sudah selesai semuanya. Kerja-kerja sekarang lebih tertumpu kepada hal-hal lain yang juga merupakan tugas hakiki seperti penyelidikan dan program-program lain. Sepanjang tempoh peperiksaan, rasanya semua baik-baik sahaja. Tunggu saja laporan daripada pihak Hal Ehwal Akademik untuk mengetahui berapa banyak kes-kes meniru dan sebagainya. Namun ada satu perkara yang saya kurang berkenan iaitu satu pernyataan yang diletakkan di antara bilik atau dewan peperiksaan. Ia adalah pernyataan "PEPERIKSAAN SEDANG BERJALAN".

Sekali baca saya sudah sangsi dengan ketepatan penggunaan imbuhan BERJALAN di situ. Rasanya lagi tepat kalau diletakkan "PEPERIKSAAN SEDANG DIJALANKAN". Walaupun nampak hal kecil sahaja, saya rasa ia patut dibetulkan kerana rasa agak malu dengan kesilapan penggunaan bahasa di sebuah institusi bertaraf universiti. Apatah lagi ramai orang-orang luar keluar masuk ke kampus ini. Tunggu dan lihat pada masa akan datang adakah ia akan berulang lagi.