RSS

Cuti dan Jalan-jalan

Semalam saya memulakan kerja seperti biasa setelah bercuti selama seminggu. Keadaan kampus terasa sunyi dan lengang kerana masing-masing masih bercuti. Ini lah peluangnya. Kalau tidak, pensyarah di sini tidak dibenarkan bercuti ketika musim kuliah sedang berjalan (melainkan hal-hal yang tidak dapat dielakkan sahaja).

Sejak akhir bulan Mei saya dan keluarga ke sana sini. Mulanya ke Batu Pahat menghadiri majlis konvokesyen suami. Selang beberapa hari ke Teluk Intan Perak untuk menghadiri kenduri kahwin di kampung sebelah suami. Tiga hari selepas itu, saya pulang bercuti dan berehat di kampung. Perjalanan yang singkat seperti ini memang memenatkan.

Ketika di kampung, saya terasa aman. Mana tidaknya, sengaja dikosongkan fikiran untuk tidak memikirkan hal-hal berkaitan kerja. Berjalan cuci mata di rumah pengusaha barangan kemas bersebelahan kampung. Sekadar cuci mata betapa cantiknya barang kemas yang dihasilkan. Kalau lah saya dapat sekurang-kurang nya satu, alangkah bahagianya hidup. Di samping itu, saya dan suami suka jalan-jalan cari makan di sekitar Kuala Terengganu. Yang tidak dapat ditinggalkan ialah makan ikan/sotong/udang celup tepung di kawasan belakang lapangan terbang. Setiap kali pulang ke kampung, mesti kami akan ke sana sambil menikmati angin pantai yang damai. Tidak cukup dengan itu, akhirnya saya menjumpai gerai "Air Buah Gelas Besar" yang sudah lama tercari-cari. Itu pun setelah bertanya orang kampung di kawasan Seberang Takir. Sudah kenyang, kami meneroka lagi kawasan itu. Nampaknya banyak tempat makan yang agak menarik di Seberang Takir ni. InsyaAllah kami akan datang apabila pulang ke kampung lagi. [nota:sebenarnya saya bukan jenis makan di luar ketika sekolah dulu, jadi saya tidak tahu mana tempat yang ok dan tidak; sekarang baru lah boleh meneroka tempat-tempat berhampiran kampung].

Sehari sebelum pulang, saya membawa anak-anak jalan-jalan di Taman Tamadun Islam. Walaupun agak hampir dengan kampung, inilah pertama kali saya menjejakkan kaki ke sana. Nasib juga baik kerana saya mempunyai sepupu yang bekerja di sana dan kami tidak perlu membayar sebagaimana orang lain. Daripada melawat replika masjid-masjid agung seluruh dunia, saya juga membawa anak-anak menaiki bot dan menyusuri sungai Terengganu. Walaupun saya dilahirkan di negeri ini, namun banyak lagi perkara yang saya tidak tahu. Dengan adanya peluang ini, sekurang-kurangnya ada juga ilmu yang saya dapat.

Hujung minggu ini saya akan ke Kuala Lumpur untuk menghadiri jemputan kahwin keluarga sebelah suami. Setelah itu, saya harap saya boleh berehat daripada berjalan-jalan dan bekerja seperti biasa.

2 comments:

dune's_heritage said...

lah..nape doh lagu wham hok kite suka dengor masa kat UUM dulu tuh?

fadilah said...

careless whisper