RSS

Kenangan - versi 1

Background air terjun Bukit Hijau

Ketika kembara


Sebelum pulang

Entah macam mana ketika dalam perjalanan balik dari makan malam, saya bercerita dengan suami yang memandu di sebelah. bercerita tentang pengalaman yang saya lalui ketika belajar dahulu. suami saya sudah sedia maklum pengalaman saya ini dan saya seolah-olah mengimbau kembali kenangan terutama bersama-sama di dalam ko kurikulum.

semasa di universiti dulu, memang diwajibkan mengambil kursus ko kurikulum, sama seperti pelajar sekarang. saya menyertai pasukan beruniform iaitu pertahanan awam (JPA 3). pada mulanya saya tidak yakin untuk menyertainya, tetapi saya gagahkan hati juga. saat-saat yang paling menyeronokkan ialah ketika melakukan aktiviti praktikal. Contohnya perkhemahan, aktiviti menyelamat iaitu melakukan CPR, menggunakan hos bomba untuk memadam kebakaran, mengendalikan bot laju dan sebagainya. Yang sedihnya, saya sudah lupa pada cara-cara yang perlu dilakukan ketika memberi pertolongan cemas, mungkin disebabkan sudah lama tidak dipraktikkan.

Yang paling seronok ialah perkhemahan. Boleh dikatakan setiap semester saya akan menyertai perkhemahan anjuran pertahanan awam. setiap kali selepas habis peperiksaan akhir, saya akan ikut pergi 'camping'. Antara tempat yang kami kunjungi untuk berkhemah ialah air terjun di Bukit Hijau, Baling, Kedah; Pantai Merdeka, Gua Wang Burma dan sebagainya.

Perkhemahan di Bukit Hijau merupakan perkhemahan yang pertama buat saya ketika menyertai JPA 3 ini. Ketika itu saya di semester pertama. kalau diikutkan saya yang paling junior. Berkhemah di situ seronok. Pada ketika itu musim hujan. Aktiviti biasa bagi pasukan uniform seperti ini ialah berkawad, senam, jogging dan yang paling penting meredah hutan. Meredah hutan ketika hujan memang sukar. Kami tidak melalui trek yang ada, tetapi cuba meneroka sendiri jalan untuk sampai ke tempat perkhemahan. Dengan keadaan bukit yang licin dan curam, memang amat menguji kesabaran. Sampai ada rakan yang menangis tidak sanggup meneruskan kembara tersebut dan pulang ke khemah. Saya pun hampir putus asa. Tetapi untuk berpatah balik pada saya adalah lebih sukar. Saya teruskan juga walau pun saya sendiri menitiskan air mata kerana seolah-olah 'terpaksa' melaluinya. Ketika itu yang amat diharapkan ialah sokongan kawan-kawan sepasukan. Kakak-kakak yang baik dan abang-abang yang berbudi serta kata semangat daripada rakan sebaya. Kami harus melalui kawasan yang boleh dikatakan 90 darjah curam. Untuk turun dan naik, perlu menggunakan tali. Ketika menggunakan tali, tangan harus kuat, dan saya sendiri mendapat luka. Ketika melalui satu tempat iaitu seperti lopak, dan mengikut kata jurulatih kami ia adalah tempat 'khinzir' hutan berkubang. Kami disuruh berhati-hati untuk itu, dan diajar cara melarikan diri daripada binatang tersebut sekiranya diserang. Di samping itu, kami juga ada 'peneman setia' sepanjang 'perjalanan' tersebut. Ia adalah "PACAT!!". Kenyang pacat-pacat itu mengerjakan kami. Saya sendiri mendapat gigitan beberapa belas ekor (mungkin) berdasarkan kesan yang ditinggalkan. Kami membanding antara satu sama lain, siapa yang paling banyak kena gigitan pacat, dia adalah pemenang dan saya hampir menjadi pemenangnya. Ketika itu juga saya dikenalkan dengan pokok tongkat ali. Saya tidak pasti ia betul atau tidak tetapi saya pasti jurulatih kami itu tidak mungkin menipu. Kami diajar sekiranya terlalu penat dan kebetulan terjumpa pokok tongkat ali, ambil daunnya dan kunyah untuk mendapat kembali tenaga yang hilang. Memang amat pahit rasanya dan tak sanggup untuk mengunyah apatah lagi menelan . Sekarang rasanya saya sudah tidak kenal dengan pokok tongkat ali ni. Sambil meredah, kami bersantai, belajar sesuatu yang baru dan bergelak ketawa untuk menghilangkan tekanan berhadapan dengan cabaran. Saya rasa sangat merindui saat-saat itu. Dipendekkan cerita, ketika tiba di tapak perkhemahan, hujan beransur lebat dan waktu itu pertama kali dalam hidup saya, saya melihat apa yang dikatakan dengan "BOM AIR". Memang dahsyat. Terjunan air daripada atas bukit amat menakutkan. Sebab itu sekiranya bermandi manda di kawasan air terjun, harus berhati-hati atau cepat-cepat naik sekiranya hari mendung dan hujan mula turun walaupun hanya renyai-renyai. Semua ini tinggal kenangan dan saya mengakui kata-kata rakan sebaya saya iaitu Khairul Azman, budak Melaka. Katanya, "kalau nak melakukan aktiviti lasak sebegini, kau kena lakukan sekarang, sebab nanti kalau sudah berumahtangga belum tentu kau dapat lakukannya lagi. dan kau akan ingat semua ni sampai bila-bila."

Itu lah kenangan yang tiba-tiba terimbau pada hari ini. Banyak lagi perkara yang akan saya tulis pada versi yang akan datang. Semuanya akan mengimbau segala kenangan bersama rakan-rakan dahulu.


























0 comments: