RSS

Filem

Hari ini saya agak lega sedikit selepas semua perkara yang dirancang walaupun secara mengejut berjaya dilaksanakan. Sesi jualan bunga PEWANI sudah selesai. Alhamdulillah, ada juga keuntungan. Saya amat berterima kasih kepada mereka yang sudi membantu. Setelah itu, hari minggu saya agak penuh hari itu. Hari sabtu malam, tayangan amal filem "WAYANG" berjaya diadakan di Lecture Theatre di sini. Pada saya filem itu ada nilainya. Tapi sayang, masyarakat di Malaysia amnya dan masyarakat melayu khususnya tidak tertarik dengan filem yang sebegitu. Suatu filem yang berat dan serius yang mengajak masyarakat berfikir. Pada mulanya, saya sendiri tiada hati pun untuk menonton, tetapi setelah mendengar para penonton seolah-olah "enjoy" dengan cerita itu, saya pun turut serta. Memang seronok. Ia adalah satu cerita yang bersahaja, tidak menipu penonton dan mempunyai mesej yang tersendiri terutamanya untuk orang melayu. Saya puas kerana dapat menonton.

Keesokkannya iaitu hari ahad, diadakan pula "Wacana Intelektual" bertemakan "Penyerlahan Budaya Melayu Melalui Filem". Banyak input yang saya dapati daripada perbincangan ini. Untuk para pelajar juga, saya rasa mereka mendapat ilmu yang bermanfaat daripada perbincangan ilmu ini walaupun pada asalnya seolah-olah dipaksa untuk menyertai. Panel yang terlibat pun mempunyai kredibiliti yang tersendiri dalam bidang seni iaitu Prof. Dr. Muhamad Hatta Azad Khan (Pengarah Filem WAYANG), Encik Hassan Mutalib (Karyawan) dan juga Mas Muharni (Pelakon, menjadi panel menggantikan Eman Manan).

Walaupun terasa agak berpuas hati, banyak perkara yang harus diambil berat untuk menganjurkan program sebegini. Saya akui, pelaksanaannya agak tidak teratur, namun boleh diperbaiki lagi. Pendapat saya, program yang bagus sebegini harus diteruskan terutamanya bagi mendidik anak bangsa sendiri dan memberi kesedaran melalui filem yang berkualiti.

1 comments:

BZmum said...

Semoga awak terus bersemangat.. insyaAllah.