RSS

Guru

Saya baru sahaja selesai menonton sebuah tayangan Inggeris berkenaan guru. Sempena hari guru, banyak tayangan berkaitan guru dipaparkan. Ada yang agak kelakar dan ada yang menyentuh perasaan. Namun mesejnya tetap ada. Iaitu pengorbanan guru yang tidak terkira dan amat mustahil untuk membalasnya.
Tayangan di TV 2 tadi amat menyentuh perasaan saya. Bertajuk "To Sir With Love", ia mengisahkan seorang guru berkulit hitam iaitu Mr. Thackeray yang bertungkus lumus mendidik anak didiknya sendiri tanpa mengira bangsa dan rupa kulit. Beliau merupakan seorang guru yang tegas, hebat, berpendirian, berani dan amat mulia dalam mendidik pelajarnya. Beliau akan memberi panduan kepada pelajarnya yang sentiasa hilang arah. Sentiasa memberi harapan tatkala orang lain memandang rendah kepada pelajarnya (ini kerana beliau mengajar kelas yang tercorot). Setiap bait perkataan serta ayatnya mempunyai maksud yang mendalam yang sentiasa membuatkan orang yang mendengarnya berfikir. Beliau juga berusaha memperjuangkan hak anak didiknya dan sentiasa menolak prejudis terutama yang berkulit hitam. Walaupun pada awalnya pelajarnya sentiasa menidakkan keupayaannya, namun akhirnya pelajarnya sendiri amat mengaguminya. Tersentuh hati saya apabila beliau ingin membela anak didiknya dengan penuh gaya dan berani. Berusaha untuk tidak membuka rahsia anak didiknya sehingga beliau sendiri dikenakan tindakan iaitu dibuang kerja. Dia hanya mahu membantu dan pada masa yang sama ingin pelajarnya berfikir tentang erti hidup dan berfikiran matang serta positif. Dengan keberanian dan kebijaksanaan yang ada beliau berjaya melindungi anak didiknya daripada terjebak ke kancah yang merosakkan masa depan.

Saya terfikir dan membuat perbandingan dengan diri sendiri. Adakah saya akan boleh berada di tempat seperti itu. Adakah saya mampu mendidik anak bangsa saya sendiri seperti yang dilakukan oleh Mr Thackeray. Mampukah saya menjadi seberani seperti beliau dalam usaha saya memperkasakan anak bangsa sendiri. Kalau lah saya mempunyai kekuatan beserta pendirian yang sebegitu, alangkah bagusnya. Tepuk dada, tanya hati saya sendiri.

0 comments: