RSS

Ulang tahun ke 5

Minggu lepas, hari ulang tahun perkahwinan saya yang ke lima. Ia adalah sehari sebelum ketibaan Ramadhan iaitu 21 Ogos yang lalu. Saya dan keluarga terutamanya suami tidak meraikan apa-apa. Mungkin akan disekalikan dengan memotong kek hari lahir Hazeeq pada 3 September nanti. Cuma waktu itu, saya banyak teringat kembali pengalaman selama lima tahun di alam rumahtangga. Yang tidak dapat dilupakan ialah ketika mula-mula berkahwin dulu. Saya dan suami tinggal berjauhan sehingga lah untuk melahirkan Hazeeq ketika itu saya berseorangan di rumah. Nasib baik ada rakan yang membantu menghantarkan saya ke hospital seawal jam 3 pagi. Setelah selamat melalui detik-detik itu, saya kembali berjauhan dengan suami namun Hazeeq ada sebagai peneman saya ketika itu. Tidak lama selepas itu, ketika umur Hazeeq baru mencecah 5 bulan, saya disahkan hamil lagi. Saya mula terbayangkan macam mana akan saya lalui seorang diri dengan Hazeeq dalam keadaan hamil. Maklumlah, keluarga saya nun jauh di Terengganu. Apabila kandungan mencecah 6 bulan, saya menghantar Hazeeq ke Terengganu kerana keadaan saya yang tidak larat beserta keadaan Hazeeq ketika itu yang baru merangkak. Emosi saya ketika itu memang tidak stabil. Saya sentiasa dalam keadaan sedih. Sedih kerana berseorangan dalam keadaan itu dan dalam masa yang sama merindui Hazeeq yang jauh di mata. Saya akan berulang alik ke Seremban untuk membuat pemeriksaan bulanan. Memerhatikan orang lain datang bersama suami masing-masing, hati saya menangis. Sehingga kan doktor sendiri menegur saya yang saya kelihatan amat sedih. Pantang di tanya, air mata bercucuran di hadapan doktor. Bila keadaan seperti itu, doktor dengan perlahan menasihati saya dan yang paling saya ingati ialah katanya " Berdoa lah kepada Allah...Sesungguhnya doa ibu mengandung akan dimakbulkan oleh Allah..mohon lah pada Allah agar puan sekeluarga akan sentiasa bersama-sama kelak terutamanya apabila lahirnya bayi ini". Saya seolah-olah baru terjaga dari lamunan. Setelah itu saya tidak putus - putus berdoa supaya keluarga saya ini disatukan.
Alhamdulillah, sebelum lahirnya Husna, saya dipanggil untuk temuduga kali pertama dan kedua di Segamat. Setelah lama menunggu, saya disahkan berjaya dalam temuduga tersebut dan memulakan kerjaya di Segamat pada tahun 2007. Sejak daripada itu, kami sekeluarga hidup bersama sehingga ke hari ini. Apa yang saya rasakan kini, saya amat menghargai dan bersyukur dengan apa yang saya ada sekarang. Suami dan anak-anak ada di depan mata saya. Sebuah rumah kecil yang dibeli di sini juga merupakan simbol kebahagiaan kami semua. Pada saya, wang ringgit tidak dapat menandingi kenikmatan bersama dengan orang-orang yang saya sayangi.

1 comments:

zura said...

happy anniversary!!!!!!