RSS

Budak "Pandai"

Semester ini saya mengajar kumpulan pelajar ini. Memang diketahui dan diakui mereka adalah golongan yang pintar dan pandai (kerana ada antaranya yang mendapat Anugerah Senarai Dekan). Namun, setelah hampir 10 minggu mengajar mereka, saya terperasan satu perkara. Mereka ini suka ponteng kelas dan tiada budi bahasa. Mengapa saya berkata demikian, kerana setiap kali kelas, sekiranya mereka datang, mereka akan datang setengah jam lebih lewat daripada saya. Contohnya sekiranya kelas bermula jam 2.00 petang, mereka akan muncul jam 2.30 petang yang mana ketika itu saya sudah menerangkan beberapa 'slide'. Kalau kelas mereka waktu pagi iaitu jam 8.00 pagi, mereka langsung tidak menunjukkan muka. Mungkin apa yang saya akan ajarkan itu mereka semua sudah maklum. Namun, saya hanya menjalankan tugas saya. Saya tidak boleh membuat andaian semua pelajar dalam kelas itu sudah pandai semua perkara yang ada dalam silibus subjek berkenaan.
Apa yang membuatkan saya seolah-olah menyumpah kepada mereka di dalam hati, ketika ujian pertama untuk subjek tersebut, mereka juga datang setengah jam lebih lambat seperti yang dijanjikan. Langsung tiada hormat. Pada waktu itu, saya terasa ingin membuat eksperimen. Sekiranya saya mendoakan mereka tidak boleh menjawab ujian tersebut, adakah perkara itu berlaku seperti yang hati saya inginkan pada waktu itu. Tidak kira lah sepandai mana pun seorang pelajar itu, sekiranya tidak mendapat redha gurunya, keberkatan tidak akan memihak kepadanya. Itu yang saya faham sewaktu saya bergelar pelajar dahulu. Sebab itu, saya atau mungkin mereka yang bergelar pelajar pada masa dulu begitu hormat dan menyanjung guru-gurunya.
Ketika mereka lambat, saya mula terfikir kenapa mereka lambat dan cuba bertanya kepada rakan-rakan kelas mereka yang lain. Ini kerana saya difahamkan kumpulan pelajar ini mempunyai kenderaan untuk ke mana-mana. Secara logiknya, tiada kelewatan sekiranya tiada apa-apa berlaku. Namun, selepas setengah jam, mereka masuk dan tanpa meminta maaf walau sepatah pun, dengan muka bersahaja mereka menuju ke tempat duduk. Hati semakin panas. Disebabkan itu saya teruskan eksperimen saya tadi. Kadang-kadang rasa bersalah, namun disebabkan kebiadapan mereka waktu itu, saya teruskan. Saya rasa ingin mengajar mereka. Selesai ujian, saya memerhatikan jawapan yang diberikan oleh kumpulan pelajar ini dengan pelajar yang selalu hadir ke kelas. Memang teruk. Memandangkan itu, saya tersenyum. Dalam hati saya berkata "Padan Muka!!.
Tidak cukup dengan itu, sepatutnya mereka akan membentangkan topik topik tertentu untuk subjek yang berlainan yang diajar oleh saya. Minggu sebelum itu, mereka tidak hadir untuk melihat pembentangan kawan-kawan kelas yang lain kerana kelas itu bermula jam 8.00 pagi. Saya cuma bersikap biasa. Minggu ini, kalau diikutkan giliran mereka untuk membentang. Apa yang berlaku ialah hanya seorang ahli kumpulan tersebut yang hadir. Saya beri kata dua kepada mereka. Bentang hari itu juga atau tidak bentang langsung. Pelajar ini cuba menelefon rakan-rakan kumpulannya namun tidak berjawab. Dia merayu kepada saya untuk membentang pada waktu yang lain dalam minggu ini. Saya katakan kepadanya, saya anggap mereka tidak berminat untuk membentang dan markah untuk kumpulan tersebut tidak akan diberi. Mungkin mereka rasa mereka boleh dapat "A" dengan subjek ini yang sememangnya tiada peperiksaan akhir. Tunggulah habuannya nanti.
Adakah saya berdosa kerana mendoakan yang tidak baik kepada mereka seperti ini. Pada saya, mereka bukannya orang cemerlang sekiranya mereka bersikap begini. Sekiranya ditegur, saya rasa tidak berbaloi kerana mereka rasakan mereka sudah tahu semuanya. Saya tidak kisah. Saya cuma menjalankan tanggungjawab saya sebaik mungkin. Untuk mereka, dalam hati saya "Lantak la". Dan sekiranya ibubapa, guru-guru akan berkata sedemikian, apa yang maksudnya. Jawapan hanya ada pada mereka sekiranya mereka mahu berfikir.
[Nota: Untuk kedua-dua subjek, mereka adalah orang yang sama.]

1 comments:

Anonymous said...

Slm

Budak pepandai ni mana nk respek org... Mmg xleh bg muka. Bg je soklan yg susah2. Bio tau tinggi rendah langit nih...