RSS

Ulang tahun ke 5

Minggu lepas, hari ulang tahun perkahwinan saya yang ke lima. Ia adalah sehari sebelum ketibaan Ramadhan iaitu 21 Ogos yang lalu. Saya dan keluarga terutamanya suami tidak meraikan apa-apa. Mungkin akan disekalikan dengan memotong kek hari lahir Hazeeq pada 3 September nanti. Cuma waktu itu, saya banyak teringat kembali pengalaman selama lima tahun di alam rumahtangga. Yang tidak dapat dilupakan ialah ketika mula-mula berkahwin dulu. Saya dan suami tinggal berjauhan sehingga lah untuk melahirkan Hazeeq ketika itu saya berseorangan di rumah. Nasib baik ada rakan yang membantu menghantarkan saya ke hospital seawal jam 3 pagi. Setelah selamat melalui detik-detik itu, saya kembali berjauhan dengan suami namun Hazeeq ada sebagai peneman saya ketika itu. Tidak lama selepas itu, ketika umur Hazeeq baru mencecah 5 bulan, saya disahkan hamil lagi. Saya mula terbayangkan macam mana akan saya lalui seorang diri dengan Hazeeq dalam keadaan hamil. Maklumlah, keluarga saya nun jauh di Terengganu. Apabila kandungan mencecah 6 bulan, saya menghantar Hazeeq ke Terengganu kerana keadaan saya yang tidak larat beserta keadaan Hazeeq ketika itu yang baru merangkak. Emosi saya ketika itu memang tidak stabil. Saya sentiasa dalam keadaan sedih. Sedih kerana berseorangan dalam keadaan itu dan dalam masa yang sama merindui Hazeeq yang jauh di mata. Saya akan berulang alik ke Seremban untuk membuat pemeriksaan bulanan. Memerhatikan orang lain datang bersama suami masing-masing, hati saya menangis. Sehingga kan doktor sendiri menegur saya yang saya kelihatan amat sedih. Pantang di tanya, air mata bercucuran di hadapan doktor. Bila keadaan seperti itu, doktor dengan perlahan menasihati saya dan yang paling saya ingati ialah katanya " Berdoa lah kepada Allah...Sesungguhnya doa ibu mengandung akan dimakbulkan oleh Allah..mohon lah pada Allah agar puan sekeluarga akan sentiasa bersama-sama kelak terutamanya apabila lahirnya bayi ini". Saya seolah-olah baru terjaga dari lamunan. Setelah itu saya tidak putus - putus berdoa supaya keluarga saya ini disatukan.
Alhamdulillah, sebelum lahirnya Husna, saya dipanggil untuk temuduga kali pertama dan kedua di Segamat. Setelah lama menunggu, saya disahkan berjaya dalam temuduga tersebut dan memulakan kerjaya di Segamat pada tahun 2007. Sejak daripada itu, kami sekeluarga hidup bersama sehingga ke hari ini. Apa yang saya rasakan kini, saya amat menghargai dan bersyukur dengan apa yang saya ada sekarang. Suami dan anak-anak ada di depan mata saya. Sebuah rumah kecil yang dibeli di sini juga merupakan simbol kebahagiaan kami semua. Pada saya, wang ringgit tidak dapat menandingi kenikmatan bersama dengan orang-orang yang saya sayangi.

Demam

Penyebaran H1N1 sekarang ini menimbulkan perasaan panik di kalangan masyarakat dan tidak terkecuali saya. Perasaan bimbang semakin menjadi apabila tiba-tiba salah seorang guru taska di tempat anak saya di tahan di wad kerana disyaki dijangkiti H1N1. Nasib baik negatif. Saya tidak menghantar anak-anak di taska buat sementara waktu. Perasaan khuatir semakin menyelubungi diri apabila Husna demam secara tiba-tiba pada hari Rabu lepas. Seingat saya, waktu petang tersebut, selepas saya pulang dari kerja, saya bermain seperti biasa dengan Husna. Namun, menjelang Maghrib, dia mula buat perangai. Husna menangis tanpa sebab menyebabkan saya sendiri naik angin. Saya meneruskan kerja memasak dan suami saya melayan Husna yang sedang mengamuk. Apabila Husna muntah-muntah, saya mula mengesyaki yang mungkin Husna demam. Rupa-rupanya betul. Selesai masak dan makan sekadarnya, saya membawa Husna ke klinik. Mukanya kemerahan dan saya amat risau kerana suhu badannya terasa amat panas. Apabila doktor memeriksa, suhu badan Husna mencecah 40 darjah. Seperti biasa, doktor memberi ubat dan sekiranya dalam masa 24 jam suhu tidak turun, harus dibawa ke klinik sekali lagi.
Esoknya, saya menghantar Husna ke rumah pengasuh lama. Saya ke Putrajaya walaupun hati terasa keberatan. Waktu petang, pengasuh memberitahu demam Husna tidak kebah-kebah. Dalam hati semakin risau dan saya memesan kepada suami untuk mengambil Husna dan bawa terus ke klinik. Apabila dibawa ke klinik yang berlainan (berdekatan dengan rumah), suhu masih 40 darjah. Doktor memberi ubat lagi (bullet) kerana suhu yang terlampau tinggi. Alhamdulillah, setelah ubat tersebut diberi, suhu Husna berkurangan namun, apabila kesan ubat habis, suhu meningkat kembali. Ia nya berterusan sehingga semalam, baru lah Husna boleh bermain dengan abangnya seperti biasa. Dalam pada itu, demam itu solah-olah berjangkit, suhu Husna turun sedikit, demam akan pergi kepada Hazeeq. Apabila Hazeeq baik sedikit, demam kembali kepada Husna sehingga lah demam tersebut singgah di badan saya sendiri pada Isnin lalu. Ia terasa secara tiba-tiba yang mana saya terasa sakit-sakit badan,pening dan tidak bermaya di samping batuk dan sedikit selsema. Hari ini saya kembali kerja, namun dapat saya rasakan keadaan pening-pening, batuk dan loya masih lagi menyelubungi. Namun memikirkan kerja yang banyak tertangguh, saya kena kuatkan semangat namun tidak boleh sesuka hati berjumpa dengan orang lain.
Apabila bersembang dengan doktor, doktor sendiri pening dengan keadaan sekarang kerana kalau dulu penyakit demam biasa ini sukar untuk berjangkit. Namun sekarang, seolah-olah mudah sangat untuk berjangkit. Mungkin sekarang sudah akhir zaman, pelbagai penyakit yang timbul. Ianya sedikit sebanyak menginsafkan saya.

Husna ku...


Saya suka berbual dengan anak-anak saya. Entri kali ini lebih merujuk kepada Husna dan perbualan di bawah menunjukkan Husna tidak memahami beberapa perkataan.



Perbualan 1:

Mama : Tadi Husna ngan abang mengaji tak? (ada hari-hari tertentu mereka akan belajar mengaji yg asas)

Husna : Tak....
Mama : Kenapa?
Husna : Ustaz tak boleh datang. Ustaz ada "miting" (wah...kagum pertama kali mendengar
miting")
Mama : Meeting ape?
Husna : Miting..miting...miting dengan miki mose ("mickey mouse")
Mama : Mickey Mouse? Mickey Mouse sapa?
Husna : Ntah.....

(Tergelak saya mendengarnya....tak tahu apa yang dia faham dengan "miting")

Perbualan 2

Sambil bersiap-siap untuk ke pejabat saya sengaja menyapa Husna yang sentiasa sibuk untuk bersiap dan memakai bedak dan gincu.

Mama : Husna ni rendah la..(nampak dia tersengih)
Husna : Mama...Husna rendah kan.....?(sambil tergelak kecil)
Mama : Tengok macam mama ni....tinggi je (husna sengih lagi)
Husna : A'aah la mama...Husna rendah la....tengok ni....(sambil menyelak bajunye...)
Mama : Apa tu....?
Husna : Husna rendah kan....?(sambil tunjuk perutnya)

Makanya saya tahu Husna sememangnya tidak faham apa itu rendah

Perbualan 3

Husna : Mama...jom la gi Giant
Mama : Nak buat ape...?
Husna : Saje.....nak beli barang...nak beli mainan...
Mama : Bila Husna nak pegi?
Husna : Bila....
Mama : Mama tanya, bila Husna nak pegi giant?
Husna : Bila.
Mama : Bila?
Husna : Bila.

Husna sememangnya tidak faham perkataan bila dan saya suka mengusiknya dengan pertanyaan bila. Sehingga lah hari itu, saya ajarkan dia bagaimana nak menjawab pertanyaan bila. Tak tahu lah masih ingat ke tidak.












Kek Hari Lahir Suami

Semalam hari lahir suami saya. Daripada awal saya terfikir untuk menyediakan sendiri kek hari lahir untuk nya. Persediaan demi persediaan di buat. Daripada membeli oven sehingga peralatan-peralatan yang diperlukan untuk membuat kek. Saya membelinya satu per satu. Hingga rasanya tuan punya kedai kek sudah jenuh melihat muka saya yang membeli peralatan satu demi satu. Maklum lah, ini adalah pertama kali untuk saya membuat kek semula.

Sebagai persediaan, saya membuat kek pada hari minggu lalu (sabtu). Selepas sarapan, saya dengan bersungguh-sungguh mengadun segala bahan-bahan kek. Setelah siap, saya menyediakan oven dan bersedia untuk membakar. Namun, silap saya, saya membeli bekas memasak kek yang boleh ditanggalkan di bahagian bawahnya. Di sebabkan adunan yang terlalu cair (itu dah ikut resepi...), maka adunan tersebut menitik sehingga memenuhi tray dibawahnya. Dan disebabkan malas nak tarik kek tersebut keluar, saya biarkan ia di dalam sampai masak. Akhirnya, saya mendapat 2 kek yang tak berapa jadi namun anak-anak saya mengatakannya sedap (hehehh....boleh percaya ke Hazeeq dan Husna tu...). Suami saya pula turut mengiyakan, cuma katanya kena tukar bekas kek yang lain supaya selepas ini kek yang saya buat akan jadi.

Tidak berpuas hati dengan kejadian pagi itu, saya mengadun kek tersebut kali kedua pada waktu malam. Selepas anak-anak tidur, saya mulakan kerja. Kali ini saya menggunakan periuk kecil berbentuk bulat sebagai bekas memasak kek. Selepas diadun, saya masukkan dalam oven dan masak seperti mana dikatakan dalam resepi iaitu 45 minit. Setelah kek masak, saya sediakan pula topping kek tersebut. Sebelum itu, saya cucukkan dengan lidi untuk pastikan ia masak. Lidi keluar dengan bersihnya. Dengan penuh yakin, saya bersedia untuk membalikkan kek tersebut di atas tempatnya untuk dihias dan diletakkan topping. Sekali dibalikkan, semuanya terbarai disebabkan bahagian dalam kek tidak masak dan masih cair. Mungkin disebabkan periuk kecil yang saya gunakan terlalu tebal untuk kek dan perlu dimasak dalam jangkamasa yang agak lama. Waktu itu, Tuhan saja yang tau betapa geram nya saya dengan diri sendiri yang buta buat kek. Semuanya saya campakkan dalam bekas sampah. Topping yang sudah dibuat saya masukkan dalam peti ais untuk digunakan semula. Saya terus masuk tidur dengan perasaan kecewa (huhu...).

Hari Ahad saya tidak berusaha untuk buat kek. Perasaan kecewa masih ada lagi. Namun, pada hari Isnin, iaitu semalam, waktu tengahari, saya pulang sekejap untuk siapkan kek. Hari itu adalah hari lahir suami, dan mungkin boleh potong kek tersebut pada sebelah petang dengan anak-anak. Saya ke kedai dan membeli bekas kek yang lain. Setiba di rumah, saya mengadun kembali kek tersebut. Setelah itu, apabila kek sudah masak, hati saya berbunga kerana kek tersebut naik dengan eloknya dan apabila diterbalikkan, semuanya nampak baik dan lembut. Dengan hati yang girang saya panaskan balik topping yang saya sudah masak pada malam sebelumnya. Agaknya tidak sesuai untuk dipanaskan beberapa kali, topping tersebut kelihatan berketul-ketul. Disebabkan tidak sempat untuk sediakan topping yang lain, saya letakkan saja topping tersebut diatas kek yang sudah siap tadi. Dengan hiasan bintang-bintang kecil, saya kira kek tersebut sudah sedia untuk di potong. Dan tanpa mengikut arahan dalam resepi tersebut, saya masukkannya dalam peti ais dan setelah itu saya ke kelas. Apabila pulang dari kerja, saya dapati topping tersebut mengeras dan mengakibatkan kek tersebut agak tidak sedap (pada saya). Dengan perasaan geram, saya potong sendiri kek tersebut tanpa mengajak suami. Suami cuba makan juga, mungkin sekadar mengambil hati. Saya minta maaf padanya kerana kek yang saya janjikan itu tak jadi. Suami cuma menyengih dan mengatakan kek itu sedap dan masih boleh dikira "jadi". Mmmm...dalam hati ("ye la tuu..."). Makanya, untuk sediakan kek Otromen Hazeeq dan kek Barbie Husna, entah tinggal mimpi agaknya......