RSS

Hak dan kebajikan

Adakah untuk memohon sedikit sumbangan kebajikan (bagi yang kurang bernasib baik), sesetengah daripada mereka harus membawa atau menggunakan orang yang berpangkat tinggi untuk dijadikan sebagai "sebab" bagi meluluskan sesuatu permohonan?

Situasi di bawah ini antara yang pernah berlaku.

Situasi 1:
Salah seorang anak buah saya di diagnoskan sebagai "autistic children". Kanak-kanak autisme ini banyak kategori sama ada teruk, sederhana atau peringkat biasa. Untuk mengajar kanak-kanak seperti ini, mereka harus melalui kelas pendidikan khas. Cikgu-cikgu mereka telah dilatih untuk mendidik dan membimbing kanak-kanak seperti ini. Sebelum masuk ke sekolah kanak-kanak tersebut haruslah diisytiharkan sebagai orang kurang upaya (OKU) oleh satu jabatan kerajaan. Setelah itu, baru la mereka boleh masuk ke sekolah dan belajar seperti biasa. Namun, pada mulanya, hanya untuk mendapatkan pengesahan OKU itu sendiri memakan masa kerana sewaktu membuat permohonan, kami hanya membawa dokumen seperti yang disuruh, tanpa membawa "nama" seseorang yang berpangkat tinggi. Apabila hampir sebulan, kami cuba bertanya khabar berkenaan status borang tersebut, ia masih belum diproses. Tidak puas hati dengan keadaan tersebut, kami menggunakan seorang bapa saudara iaitu "PENGHULU" mukim yang lain untuk menghubungi orang-orang yang "berkepentingan" dalam jabatan tersebut bagi mempercepatkan proses. Dalam masa seminggu, anak tersebut mendapat kad OKU.
Situasi 2:
Saya pernah bersembang dengan seorang staf di sini yang mempunyai pendapatan sederhana dan mempunyai anak OKU. Mempunyai suami namun, nasibnya kurang bernasib baik kerana suami yang ada tidak bertanggungjawab. Dia agak emosi hari itu sambil bercerita tentang keadaan anak-anaknya itu. Salah seorang anaknya OKU tidak mampu berjalan serta menguruskan diri. Anaknya yang seorang ini memerlukan penjagaan rapi dan juga perbelanjaan yang agak banyak terutama untuk lampin pakai buang serta makan minumnya. Anaknya ini berumur hampir 20 tahun. Dia pernah memohon bagi mendapatkan elaun untuk anaknya itu, namun setelah setahun permohonan dibuat, nyata masih belum mendapat apa-apa. Setelah penat menunggu, dia memohon bantuan daripada staf yang lain yang merupakan isteri kepada Yang Berhormat dengan harapan elaun bantuan untuk OKU dapat diperolehi. Setakat hari ini, saya masih belum mengetahui statusnya.
Saya terfikir dan tidak pasti adakah prosedur untuk memohon bantuan sebegitu rupa. Pemohon haruslah menunggu selama yang mungkin bagi mendapatkan hak mereka. Entahkan dapat, entahkan tidak. Pada saya sekiranya sesebuah jabatan itu dengan tulus dan telus untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik, mereka tidak perlu untuk menyusahkan mereka yang susah untuk ke sana ke mari bagi memohon sokongan lebih daripada apa yang diperlukan.
Sebab itu, sekiranya saya ingin berurusan dengan jabatan-jabatan tertentu di luar sana ketika waktu bekerja, saya akan pastikan saya memakai tanda nama beserta lencana organisasi. Kalau tidak, mereka pun tidak "kuasa" untuk melayan dan saya pernah melalui pengalaman itu.

0 comments: