RSS

"Anak-anak lorong"

Malam tadi saya menantikan drama 'Anak-anak Lorong' di saluran Astro Prima. Melihatkan tajuknya pun membuatkan saya tertunggu-tunggu walaupun drama bermula jam 10.30 malam dan berakhir jam 12.30 malam. Ia mengisahkan realiti kehidupan anak-anak jalanan di Bandaraya Kuala Lumpur. Drama ini amat menyentuh hati. Dua orang adik beradik hidup dalam keadaan tiada arah tuju, tidak bersekolah dan hidup dalam suasana yang amat menyedihkan. Amirah dan Azim tinggal bersama ibu mereka yang bekerja sebagai pelacur. Sewaktu ibu mereka ada "kerja" mereka akan merempat ke mana sahaja. Makan, tidur anak-anak ini tidak dihiraukan oleh ibu mereka yang memang tidak ambil peduli perihal anak-anak. Anak-anak ini juga diambil kesempatan oleh sindiket dan dipaksa untuk meminta sedekah. Setelah beberapa hari tidak pulang kerana disekat oleh sindiket tersebut, barulah ibu mereka mula mencari mereka.

Dipendekkan cerita, ibu mereka ditemui meninggal dunia ketika bergelut dengan salah seorang ahli sindiket dan juga pelanggannya, manakala Azim meninggal dunia di tepi-tepi lorong yang kotor dalam keadaan yang menyedihkan. Azim pergi dalam keadaan teramat rindu pada ibunya, dalam keadaan lapar dan paling menyedihkan anak itu meninggal mungkin kerana mengidap AIDS. Nasib Amirah amat baik kerana dipertemukan dengan Cikgu Mariah yang telah mengambil Amirah sebagai anak angkatnya setelah lama mencari. Cikgu yang berhati mulia ini sanggup untuk mengambil anak ini yang mungkin pada orang lain amat kotor dan jijik. Mana tidaknya, anak kepada seorang pelacur, tinggal merempat dan berperangai liar. Cikgu Mariah sanggup memberi peluang kepada Amirah untuk hidup dalam keadaan yang sepatutnya. Itu lah yang sepatutnya dicontohi. Kita tidak boleh terlalu menyalahkan orang lain dan sebolehnya memberi peluang untuk mereka berubah.

Kisah ini membuatkan hati saya tersentuh. Kasihan melihatkan keadaan dan nasib anak melayu hari ini sekiranya itulah kenyataan hari ini. Betapa sekarang ini anak-anak seolah-olah tiada nilainya lagi. Sebab itulah kita sentiasa disajikan dengan berita pembuangan anak yang tidak berkesudahan. Anak-anak anugerah Allah. Walau sebesar mana pendapatan dan kekayaan kita pada hari ini, tidak akan terbanding dengan nilai seorang anak. Itu lah pelaburan di dunia dan akhirat. Pelaburan yang tiada tolok bandingnya.

0 comments: