RSS

Ibu Saya

Pagi tadi adik yang menjaga ibubapa saya menelefon dan mengadu kerana ibu saya tidak mahu ke hospital untuk pemeriksaan. Hari ini ibu saya dijadualkan untuk membuat pemeriksaan. Saya katakan akan menelefon balik setelah saya menghantar anak-anak ke sekolah. Setelah itu saya hampir terlupa kerana ada hal lain yang perlu diuruskan. Ditambah lagi saya sedang menanda kertas peperiksaan, yang mana memerlukan saya fokus kepada hal yang satu ini. Jam hampir 10 pagi baru saya teringat untuk menelefon. Saya bercakap dengan ibu saya dan cuba memujuk untuk ke hospital. Alasannya adalah takut. Saya perlu menerangkan kepadanya seperti mana saya terangkan kepada anak-anak saya supaya dia tidak takut untuk ke hospital.

Apabila jam menunjukkan pukul 12.00 tengahari, saya menelefon adik. Alhamdulillah, ibu saya bersetuju ke hospital dan menerima sedikit rawatan. Lega hati saya. Petang nanti saya akan telefon untuk bertanya "khabar" ibu saya setelah pulang dari hospital.

Saya termenung sebentar. Saya fikir alasan yang diberikan itu hanya sekadar alasan. Sebenarnya ibu perlukan perhatian anak-anaknya. Baru malam tadi saya bersembang dengannya kerana saya dan keluarga dalam perancangan untuk ke Port Dickson. Jadi, kalau boleh saya mahu ibu ikut sama untuk bersama cucu-cucunya. Di harap agar terubat rindu dan kesunyiannya selama ini.

0 comments: