RSS

Al-Fatihah

Ketika membacakan surah Yassin malam tadi, tiba-tiba hati tersentuh terkenangkan guru Quran yang baru meninggal dunia baru-baru ini. Dengan kelebihan yang arwah ada, telah banyak mendidik bukan sahaja anak-anak kecil, tetapi golongan usia emas masih dahagakan ilmu al-quran dengan beliau. Arwah dilanda strok pada tahun 2008 menjadikannya tidak mampu bercakap, apatah lagi mengalunkan ayat-ayat suci. Arwah hanya mampu terlantar tidak bermaya.

Berguru dengan arwah, menjadikan saya seperti ini, sekurang-kurangnya boleh membaca Al-Quran. Saya hampir terlupa, waktu tadika atau darjah satu saya sudah beralih daripada Muqaddam ke Al-Quran. Darjah lima, saya berjaya khatam buat pertama kali. Selepas itu, saya mampu membaca Al-Quran dengan lancar membuatkan saya mampu khatam lagi sekali pada usia 12 tahun (darjah enam). Masih teringat majlis khatam Quran yang dibuat di masjid. Dengan jasanya juga, saya terpilih antara 2 murid perempuan (ketika itu Darjah 5) untuk mewakili sekolah dalam tilawah Al-Quran. Habis waktu persekolahan, saya dan seorang kawan dikehendaki berlatih bacaan dengan Imam di masjid berhampiran (sebelah sekolah). Namun, disebabkan nafas yang pendek, saya tidak terpilih. 

Masuk sekolah menengah, saya tinggal di asrama. Namun setiap kali balik kampung, ibu saya menyuruh saya ke rumah arwah untuk belajar lebih mendalam tentang Al-Quran, namun tidak kesampaian. Hanya beberapa kali berkesempatan belajar kerana kesibukan masing-masing. Namun, arwah merupakan orang yang baik dengan keluarga saya dan orang kampung. Banyak jasa yang diberikan pada keluarga saya, tidak terhitung rasanya.

Sehinggalah arwah ditimpa strok, saya akan melawatnya sesekali ketika balik ke kampung. Walaupun tidak mampu bercakap, namun saya tahu waktu itu arwah masih dapat mengenali bekas anak-anak muridnya. Cuma terkilan di hati, saya tidak sempat menjenguknya ketika Aidilfitri yang lalu. Saya pulang agak lewat ke kampung kerana beraya di kampung sebelah suami dahulu. Apabila sampai di kampung, arwah telah dibawa ke rumah anaknya di Seremban. Dengan rasa terkilan di hati, saya menerima khabar arwah telah pergi meninggalkan dunia ini pada akhir September lalu. Hanya doa dan bacaan ayat suci al-quran sahaja dapat saya kirimkan kepada arwah. Itulah antara ilmu bermanfaat yang telah diberikan kepada kami semua, bekas anak-anak muridnya. Al-Fatihah.

0 comments: