RSS

Asal Usul Jementah

Jementah merupakan salah satu pekan kecil di Daerah Segamat, Johor. Saya menetap di Jementah ketika ini dan menjumpai kisah asal usul Jementah daripada buku ini. Ikuti kisahnya. Petikan: Himpunan 366 Cerita Rakyat Malaysia, Utusan Publications, 2009)

Di Daerah Segamat, ada satu tempat yang dipercayai banyak emas. Ramailah orang luar datang ke situ. Mereka ingin mencari emas di situ. Mereka ingin cepat kaya. Mereka mendapati tempat itu masih dipenuhi hutan.Mereka pun mula  menebang pokok-pokok dengan menggunakan kapak. Mereka mula menebang pada waktu pagi. Apabila petang, banyak lah pokok yang sudah ditebang. Mereka sangat gembira. Mereka pun berehat kerana hari hampir malam.

Pagi esoknya mereka terkejut. Pokok-pokok yang ditebang telah bercantum.  Kawasan itu menjadi hutan semula. "Ganjil. Sungguh ganjil!! Bagaimana pokok-pokok itu boleh bercantum semula?" soal mereka sesama sendiri. Mereka menggeleng-geleng. Mereka tidak sangka perkara ajaib boleh berlaku. "Kita jangan putus asa. Kita mesti terus berusaha. Mari kita tebang semula pokok-pokok itu," cadang seorang daripada mereka. Mereka bersetuju. Mereka pun mula menebang. Apabila petang, mereka berhenti rehat. Apabila malam, mereka pun tidur. Pagi esoknya mereka dapati pokok-pokok itu bercantum semula. Mereka semakin hairan tetapi tidak putus asa . Mereka tebang semula pokok-pokok itu. Orang yang lalu di situ juga hairan. Ada yang bertanya, "sudah habiskah menebang pokok?" Jemu, jemu, asyik tebang pokok saja," jawab mereka sambil menggeleng-geleng. Orang itu bertanya lagi, "bila kawasan ini dapat dibersihkan?". Entah, entah, entah," jawab mereka lagi. Keadaan itu berlaku saban hari. Apabila ditanya, jawapan mereka tetap sama. Mereka menjawab: "Jemu, entah, jemu, entah."

Akhirnya orang ramai pun memanggil tempat itu Jementah. Setelah beberapa lama keadaan ini berubah. Pokok-pokok yang ditebang tidak bercantum semula. Mereka semua gembira. "Mujurlah kita tidak putus asa, " jawab mereka.

0 comments: