RSS

Pandangan Peribadi

Saya selalu mengikuti drama dalam slot Seram di TV3 setiap hari Khamis jam 9.30 malam. Musim ini tajuk untuk slot berkenaan adalah Penunggu Gunung Raya. Perasaan sebenarnya agak kurang senang kerana pada saya ada sesetengah bahagian cerita tersebut agak sadis terutamanya untuk tontonan umum. Apa lagi apabila menonton bersama anak-anak kecil. [nota: Penerbit sudah menyatakan kanak-kanak di bawah berapa tahun entah, haruslah menonton dengan bimbingan ibubapa].

Apabila menonton beberapa kali, saya agak sangsi dengan skrip yang dilontarkan oleh pelakon itu terutamanya apabila dialog yang menyangkal dan mempersoalkan kewujudan dan keagungan Allah. Walaupun hanya berlakon, adakah boleh atau tidak (adakah jatuh hukum murtad atau apa-apa sahaja) apabila seseorang itu mengeluarkannya secara lisan walaupun di dalam hati beliau tidak berniat sebegitu. Saya bukan orang yang pandai untuk bercakap mengenai hukum hakam ini, namun untuk mempersoalkan rezeki yang Allah berikan pun kita disuruh beristighfar banyak-banyak. Siapalah kita untuk mempertikaikannya.

Saya juga terfikir, apakah pula kesan kepada orang ramai yang menonton yang mana zaman ini kita sudah sedia maklum berkenaan dengan masalah jati diri dan keimanan umat Islam. Ya, bagi orang yang beriman, semua itu tidak mungkin akan menggoyahkan keimanan. Namun, apa akan jadi pada anak-anak muda kita yang sekarang ini terlalu banyak hanya mengikut tetapi tidak mahu berfikir tentang sesuatu perkara. Bagaimana skrip yang sebegitu boleh "dilepaskan" oleh pihak tertentu. Saya akui, banyak pengajaran daripada drama ini. Namun ia harus diterapkan dengan jelas supaya pengikut-pengikut cerita ini tidak terpesong oleh dialog atau pun skrip yang diutarakan. Atau pun mungkin juga pengajaran yang jelas dapat dilihat apabila kita menontonnya sehingga tamat episodnya.
Apa-apa pun alasannya, kita harus pastikan sesuatu yang kita lakukan tidak akan memberikan kesan negatif terutama kepada anak-anak atau generasi muda kita. Mungkin pihak penerbit sudah merujuk kepada mereka yang bertauliah tentang perkara ini sebelum mereka memutuskan untuk menayangkan kepada orang ramai. Kita tunggu dan lihat kesudahan cerita ini. Wallahua'lam.

0 comments: