RSS

"Servis" Yang "Magik"

Semalam, bilik pejabat saya terkunci dari dalam. Memang ia satu kesilapan dan kecuaian dari pihak saya sendiri. Dalam kekalutan untuk ke kelas, saya hanya membawa kunci kereta dan terus mengunci bilik pejabat, sedangkan beg tangan dan peralatan untuk saya mengajar tertinggal di dalam. Kebiasaannya, saya akan meninggalkan kunci 'spare' di satu tempat lain. Namun, kes ini sudah berlaku baru-baru ini, dan saya terlupa untuk meletakkan kunci tersebut semula di tempat yang biasanya saya letakkan. Sudahnya kedua-dua kunci saya ada di dalam beg tangan.

Untuk mendapatkan pertolongan, saya cuba menelefon dari bilik seorang kawan. Disebabkan bahagian Fasiliti baru berpindah, saya tidak pasti nombor telefon baru bahagian itu. Saya cuba menelefon operator dalaman. Malang sekali panggilan tidak berjawab. Jam pada waktu itu sudah menunjukkan 2.30 petang. Sepatutnya dan secara logiknya pada waktu itu semua staf sepatutnya sudah berada di tempat kerja masing-masing. Beberapa kali saya mencuba, keadaan masih sama. Pada mulanya saya andaikan telefon di pejabat kawan saya itu rosak yang menyebabkan mereka "sepatutnya" (atau pun wajib) menjawab telefon. Saya cuba menelefon nombor lama pejabat bahagian fasiliti. Keadaan masih sama. Saya jadi hairan, kenapa semua orang seolah-olah "tidak mahu" menjawab panggilan saya. Atau pun saya kira adakah masa untuk masuk kembali ke pejabat setelah rehat tengahari adalah jam 3.00 petang. Mungkin ada pekeliling baru. Tapi saya rasa mustahil. Takkan organisasi ini mengimplementasikan jadual waktu kerja yang baru tanpa ada sebarang makluman.

Setelah "tidak dilayan", saya menelefon unit keselamatan. Alhamduluillah, panggilan dijawab. Beberapa minit menunggu, seorang staf unit itu tiba bersama sebekas kunci bilik. Beliau cuba membuka bilik, namun menambahkan hairan lagi, kunci yang ada langsung tidak boleh dimasukkan ke lubang kunci. Maksudnya, kunci yang ada dalam simpanan adalah kunci yang sudah lama. Saya cuba lagi menelefon bahagian fasiliti, dan Alhamdulillah mereka sampai walaupun agak lama menunggu. Sewaktu mereka baru mula untuk cuba membuka bilik pejabat saya, mereka ada melakukan "MAGIK" yang tidak boleh saya ceritakan di sini. Saya terpana sekejap dan secara konklusinya, bilik pejabat saya pun adalah tempat yang tidak selamat untuk ditinggalkan sebarang barang yang "agak" berharga. Apatah lagi untuk meninggalkan barangan berharga.

0 comments: