Anugerah
KEMAS yang TIDAK KEMAS
Kursus
Tanggungjawab
Marking In Progress...
Salam Aidil Fitri
Budak "Pandai"
Ulang tahun ke 5
Demam
Husna ku...
Kek Hari Lahir Suami
Sebagai persediaan, saya membuat kek pada hari minggu lalu (sabtu). Selepas sarapan, saya dengan bersungguh-sungguh mengadun segala bahan-bahan kek. Setelah siap, saya menyediakan oven dan bersedia untuk membakar. Namun, silap saya, saya membeli bekas memasak kek yang boleh ditanggalkan di bahagian bawahnya. Di sebabkan adunan yang terlalu cair (itu dah ikut resepi...), maka adunan tersebut menitik sehingga memenuhi tray dibawahnya. Dan disebabkan malas nak tarik kek tersebut keluar, saya biarkan ia di dalam sampai masak. Akhirnya, saya mendapat 2 kek yang tak berapa jadi namun anak-anak saya mengatakannya sedap (hehehh....boleh percaya ke Hazeeq dan Husna tu...). Suami saya pula turut mengiyakan, cuma katanya kena tukar bekas kek yang lain supaya selepas ini kek yang saya buat akan jadi.
Tidak berpuas hati dengan kejadian pagi itu, saya mengadun kek tersebut kali kedua pada waktu malam. Selepas anak-anak tidur, saya mulakan kerja. Kali ini saya menggunakan periuk kecil berbentuk bulat sebagai bekas memasak kek. Selepas diadun, saya masukkan dalam oven dan masak seperti mana dikatakan dalam resepi iaitu 45 minit. Setelah kek masak, saya sediakan pula topping kek tersebut. Sebelum itu, saya cucukkan dengan lidi untuk pastikan ia masak. Lidi keluar dengan bersihnya. Dengan penuh yakin, saya bersedia untuk membalikkan kek tersebut di atas tempatnya untuk dihias dan diletakkan topping. Sekali dibalikkan, semuanya terbarai disebabkan bahagian dalam kek tidak masak dan masih cair. Mungkin disebabkan periuk kecil yang saya gunakan terlalu tebal untuk kek dan perlu dimasak dalam jangkamasa yang agak lama. Waktu itu, Tuhan saja yang tau betapa geram nya saya dengan diri sendiri yang buta buat kek. Semuanya saya campakkan dalam bekas sampah. Topping yang sudah dibuat saya masukkan dalam peti ais untuk digunakan semula. Saya terus masuk tidur dengan perasaan kecewa (huhu...).
Penyakit Tulang
Bila difikirkan, adakah ini penyakit keturunan. Mungkin ya dan mungkin tidak. Sebelum ini, kakak kepada Mayang (Ateh) juga melalui pembedahan untuk mengeluarkan "tulang yang tidak diingini". Saya tidak pasti apakah istilah untuk penyakit seperti itu. Ateh juga mengalami kesakitan iaitu tidak dapat berjalan, tidur dan duduk dengan baik kerana penyakit itu. Pada tahun 2005, "benda itu" berjaya di keluarkan dan Ateh sembuh seperti sedia kala. Suami saya juga menghadapi perkara yang sama. Sehari sebelum Aidilfitri pada tahun lepas, suami diserang penyakit tersebut. Selama dua minggu suami bertahan untuk tidak ke hospital kerana sedang belajar. Selama dua minggu itu juga dia tidak dapat tidur, duduk dan berbaring seselesa yang mungkin. Apabila ke hospital, terus di tahan di wad dan pembedahan dibuat. Rupa-rupanya sudah 15 tahun dia mengidap penyakit tersebut namun bertahan dengan hanya makan ubat tahan sakit. Sekarang, setelah hampir setahun selepas pembedahan, doktor mengesahkan suami mendapat keilatan kekal akibat pembedahan tersebut. Doktor tersebut juga menyarankan agar suami saya menjalani pembedahan yang lain untuk memulihkan kakinya sekarang. Dalam hati saya seolah-olah tidak yakin dengan saranan tersebut. Saya nyatakan kepada suami, selagi boleh bertahan, cuba berubat secara tradisional pula. Mudah-mudahan berhasil dengan ikhtiar ini.
Musim baru
Hmmm...bila difikirkan, ada baik dan tidak baiknya berkeadaan begini. Namun jauh di dalam hati, seolah-olah terbantut apa yang ingin dikongsi dan dipelajari dengan para pelajar. Saya masih menunggu dengan harapan akan ada lah penyelesaiannya.
Cuti dan Jalan-jalan
Sejak akhir bulan Mei saya dan keluarga ke sana sini. Mulanya ke Batu Pahat menghadiri majlis konvokesyen suami. Selang beberapa hari ke Teluk Intan Perak untuk menghadiri kenduri kahwin di kampung sebelah suami. Tiga hari selepas itu, saya pulang bercuti dan berehat di kampung. Perjalanan yang singkat seperti ini memang memenatkan.
Ketika di kampung, saya terasa aman. Mana tidaknya, sengaja dikosongkan fikiran untuk tidak memikirkan hal-hal berkaitan kerja. Berjalan cuci mata di rumah pengusaha barangan kemas bersebelahan kampung. Sekadar cuci mata betapa cantiknya barang kemas yang dihasilkan. Kalau lah saya dapat sekurang-kurang nya satu, alangkah bahagianya hidup. Di samping itu, saya dan suami suka jalan-jalan cari makan di sekitar Kuala Terengganu. Yang tidak dapat ditinggalkan ialah makan ikan/sotong/udang celup tepung di kawasan belakang lapangan terbang. Setiap kali pulang ke kampung, mesti kami akan ke sana sambil menikmati angin pantai yang damai. Tidak cukup dengan itu, akhirnya saya menjumpai gerai "Air Buah Gelas Besar" yang sudah lama tercari-cari. Itu pun setelah bertanya orang kampung di kawasan Seberang Takir. Sudah kenyang, kami meneroka lagi kawasan itu. Nampaknya banyak tempat makan yang agak menarik di Seberang Takir ni. InsyaAllah kami akan datang apabila pulang ke kampung lagi. [nota:sebenarnya saya bukan jenis makan di luar ketika sekolah dulu, jadi saya tidak tahu mana tempat yang ok dan tidak; sekarang baru lah boleh meneroka tempat-tempat berhampiran kampung].
Sehari sebelum pulang, saya membawa anak-anak jalan-jalan di Taman Tamadun Islam. Walaupun agak hampir dengan kampung, inilah pertama kali saya menjejakkan kaki ke sana. Nasib juga baik kerana saya mempunyai sepupu yang bekerja di sana dan kami tidak perlu membayar sebagaimana orang lain. Daripada melawat replika masjid-masjid agung seluruh dunia, saya juga membawa anak-anak menaiki bot dan menyusuri sungai Terengganu. Walaupun saya dilahirkan di negeri ini, namun banyak lagi perkara yang saya tidak tahu. Dengan adanya peluang ini, sekurang-kurangnya ada juga ilmu yang saya dapat.
Hujung minggu ini saya akan ke Kuala Lumpur untuk menghadiri jemputan kahwin keluarga sebelah suami. Setelah itu, saya harap saya boleh berehat daripada berjalan-jalan dan bekerja seperti biasa.
Mutiara Kata
Guru
Tayangan di TV 2 tadi amat menyentuh perasaan saya. Bertajuk "To Sir With Love", ia mengisahkan seorang guru berkulit hitam iaitu Mr. Thackeray yang bertungkus lumus mendidik anak didiknya sendiri tanpa mengira bangsa dan rupa kulit. Beliau merupakan seorang guru yang tegas, hebat, berpendirian, berani dan amat mulia dalam mendidik pelajarnya. Beliau akan memberi panduan kepada pelajarnya yang sentiasa hilang arah. Sentiasa memberi harapan tatkala orang lain memandang rendah kepada pelajarnya (ini kerana beliau mengajar kelas yang tercorot). Setiap bait perkataan serta ayatnya mempunyai maksud yang mendalam yang sentiasa membuatkan orang yang mendengarnya berfikir. Beliau juga berusaha memperjuangkan hak anak didiknya dan sentiasa menolak prejudis terutama yang berkulit hitam. Walaupun pada awalnya pelajarnya sentiasa menidakkan keupayaannya, namun akhirnya pelajarnya sendiri amat mengaguminya. Tersentuh hati saya apabila beliau ingin membela anak didiknya dengan penuh gaya dan berani. Berusaha untuk tidak membuka rahsia anak didiknya sehingga beliau sendiri dikenakan tindakan iaitu dibuang kerja. Dia hanya mahu membantu dan pada masa yang sama ingin pelajarnya berfikir tentang erti hidup dan berfikiran matang serta positif. Dengan keberanian dan kebijaksanaan yang ada beliau berjaya melindungi anak didiknya daripada terjebak ke kancah yang merosakkan masa depan.
Saya terfikir dan membuat perbandingan dengan diri sendiri. Adakah saya akan boleh berada di tempat seperti itu. Adakah saya mampu mendidik anak bangsa saya sendiri seperti yang dilakukan oleh Mr Thackeray. Mampukah saya menjadi seberani seperti beliau dalam usaha saya memperkasakan anak bangsa sendiri. Kalau lah saya mempunyai kekuatan beserta pendirian yang sebegitu, alangkah bagusnya. Tepuk dada, tanya hati saya sendiri.
Alasan 2
"Salam puan, saya Mohd R***** bin Abd R**** , no matrik 2006********** dari kelas X mengharapkan budi baik puan dapat meluluskan saya dalam subjek ini. Memandangkan coursework agak rendah kerana tak dapat menghadiri "represent" atas sebab yang tidak dapat dielakkan iaitu tiada tiket untuk balik ke kampus pada hari pembentangan semula. Harap puan dapat meluluskan saya. Mintak maaf dengan ketidaksenangan ini. Jasa puan amat dihargai. terima kasih puan."
Saya cuma tersenyum sinis kerana menyampah dengan sikap pelajar ini. Kalau pun markahnya ditambah sebagaimana yang lain, belum tentu dia akan mendapat markah yang baik kerana masalah sikapnya sendiri.
Alasan
Lebih kurang jam 4.30 petang semuanya sudah selesai. Walaupun badan terasa sakit-sakit kerana asyik terlambung-lambung dek jalan yang tidak rata. Kami bersolat di UiTM Kampus Bandaraya, dan terus untuk makan sup gear box di tempat yang dicadangkan oleh pemandu. Setelah kenyang, kami beransur pulang dan sampai di Segamat pada jam 10.30 malam.
Apa yang menarik ialah, soerang pelajar saya berpaktik di sebuah syarikat jepun. Uniknya, waktu masuk kerja adalah 8.20 pagi dan waktu pulang ialah jam 5.40 petang. Dalam pada itu, waktu rehat ada tiga kali iaitu, 10-11 pagi, 1-2 petang, 4-5 petang. Saya tanyakan, apa rasionalnya waktu kerja yang sebegitu, kenapa tidak digenapkan 8.30 masuk kerja dan balik 6.00 petang contohnya.Malangnya pelajar tersebut sendiri tidak tahu. Saya arahkannya untuk bertanya dan memberitahu jawapannya pada hari viva nanti.
Selesai cerita latihan praktik.
Semalam juga saya naik angin dengan beberapa pelajar yang saya rasakan tidak ada semangat untuk belajar. Mana tidaknya, pada minggu lepas, mereka sudah melakukan persembahan projek masing-masing. Ada beberapa kumpulan yang harus bentang sekali lagi kerana masalah yang mereka hadapi iaitu, projek tidak siap. Saya memberi peluang untuk membentang kepada mereka pada satu hari dalam minggu ini. Pada mulanya semuanya ok. Tetapi semalam, saya mendapat panggilan, seorang pelajar dari pantai timur tidak dapat hadir untuk membentang kerana tiket untuk datang kembali ke Segamat sudah habis (Note: sekarang adalah "study week" untuk pelajar yang mana pada saya mereka tidak perlu untuk pulang ke kampung, kalau pulang pun pandai-pandai lah untuk kembali semula mengikut apa yang dirancangkan). Pelajar tersebut mohon saya pertimbangkan dan mohon saya memberi markah percuma padanya kerana sebab tersebut. Saya jadi geram dan saya cuma menjawab, "tak ada tiket, tak ada pembentangan, tak ada markah". Pelajar tersebut terus diam dan letak telefon.
Lebih kurang jam 7 malam, seorang lagi pelajar yang lain menelefon saya menyatakan hal dan sebab yang sama. Ini lagi saya marah kerana pada saya tiada budi bahasa ketika bercakap dengan orang lain.
Pelajar: "Hello, sapa ni?" (dengan agak kasar)
Saya: (dalam keadaan terkejut)"Hello, awak nak bercakap dengan siapa?"
Pelajar: (dengan tanpa rasa bersalah dan selamba)"Puan Fadilah ada?"
Saya: "Saya bercakap, awak tak tahu nak bagi salam ke atau cakap elok-elok dengan orang?walaupun bukan dengan saya awak bercakap, tapi awak kena ada budi bahasa bila bercakap dengan orang lain."
Pelajar: "oh puan, saya ingat saya silap nombor."
Saya: "Kalau rasa salah nombor pun, tak terasa ke nak bercakap secara sopan dengan orang lain?"
Dia pun meneruskan percakapan. Seperti yang saya katakan tadi, dia memberitahu hal tidak dapat hadir pada pembentangan kerana tiket bas habis. Saya membalas jawapan yang sama dengan pelajar pertama tadi. Mana mungkin saya akan bagi markah percuma kepada mereka yang tidak hadir sama dengan mereka yang bersusah payah untuk hadir. Mana boleh. Dia cuba memujuk, namun saya terus matikan telefon.
Setelah itu, beberapa SMS masuk. SMS memujuk, antaranya:
SMS 1:
"alaaa tolong la puan, saya tahu puan baik hati...markah test tak cukup untuk carry marks..tolong ye puan, saya sangat mengharapkan puan kali ini...tq puan..semoga Allah memudahkan kerja puan selepas ini"
SMS 2:
"Salam, maaf mengganggu puan. Saya MOHD ******, dari kelas *** tak dapat menghadiri pembentangan projek kerana tiada tiket balik segamat. Mohon jasa budi baik puan dapat consider..harap maklum, terima kasih."
SMS 3:
"Salam, Saya ******, esok saya tidak dapat hadir untuk presentation sebab sekarang saya di T*********, tiket untuk balik ke Segamat da habis..so boleh puan pertimbangkan..?"
Dalam hati terasa membara. Pada saya, terpulang kepada mereka untuk fikir sendiri dan saya tidak akan memberi markah-markah percuma untuk mereka yang berkenaan. Kepada yang menelefon semalam, memang saya bagi "lecture" supaya mereka faham dan belajar. Tapi saya rasa mereka tidak belajar. Saya malas melayan mereka yang tidak ada semangat untuk belajar dan sentiasa memberi alasan.
Cyber Security Awareness
Minggu hadapan, ada satu lagi program yang saya uruskan. Program yang "simple" tetapi bermanfaat pada kiraan saya. Ia adalah satu sesi ceramah berkaitan dengan keselamatan ketika melayari alam siber. Siri ceramah ini dibuat khusus untuk semua staf di sini. Kalau diikutkan agak lewat saya memulakannya. Kertas kerja diluluskan pada 31 Mac 2009 dan program akan berjalan pada 16 April 2009. Saya memulakan mesyuarat AJK iaitu pada 9 April 2009.
Pada hujung minggu yang lalu, hati terasa berbelah bahagi sama ada ingin meneruskan atau pun menangguhkan. Saya pernah mengadu pada seorang rakan sekerja berkaitan dengan hal ini. Mana tidaknya, mesyuarat yang selewat itu, pada saya agak mencemaskan, di tambah lagi dengan untuk mengumpul jumlah peserta yang disasarkan seramai 100 orang itu bukan satu perkara yang mudah untuk dilakukan di sini. Seorang staf di sini bertanya kepada saya, "boleh ke awak cari 100 orang ni..?". Saya kata padanya "InsyaAllah..".
Sebelum ke mesyuarat, saya emelkan untuk mewar-warkan kepada semua staf. Alhamdulillah, respon yang saya dapat amat menggalakkan. Sebelum masuk mesyuarat, beberapa jam selepas diemel, sebanyak 28 penyertaan dikumpul. Dan sehingga hari ini, iaitu hari kedua selepas makluman tersebut, sudah mencecah 70 orang peserta. Alhamdulillah, saya amat bersyukur dengan semua ini. Saya yakin dan berdoa semoga program ini akan mencecah 100 orang penyertaan seperti angka yang disasarkan atau pun lebih.
Setakat ini semua yang dirancang berjalan seperti yang diharapkan. Saya sentiasa berdoa di dalam hati agar semuanya akan berjalan dengan sebaiknya. Amin.
Entri
Mengenang kembali ‘kepenatan’ menguruskan projek di bawah subjek ini, kadang kala saya terasa ingin melepaskannya kepada orang lain. Mungkin pensyarah lain mempunyai idea yang lebih bagus dan mempunyai kredibiliti masing-masing di dalam menguruskan sesuatu projek. Untuk semester akan datang saya masih belum terfikir apa projek yang patut dilakukan untuk memenuhi keperluan silibus ini. Mungkin sekiranya subjek ini diberi kepada pensyarah lain, akan ada projek baru yang lebih memberi impak besar kepada fakulti dan juga kepada institusi ini.
Saya lega dan puas apabila program yang dianjurkan oleh subjek ini pada semester ini telah memberi input berguna kepada jabatan-jabatan yang lain. itu sebenarnya yang ingin saya lakukan. Dulu orang lain memberi laluan kepada saya, kali ini giliran saya pula akan memberi laluan yang baik kepada mereka yang sepatutnya. Saya puas kerana mendapat maklumbalas yang baik daripada beberapa pihak. Pada masa akan datang, pada saya ia amat bagus sekiranya dilaksanakan lagi.
IT Showcase '09
Program ini akan berlangsung pada 23 mac ini. Hati sebenarnya berdebar-debar. Takut apa yang dirancangkan tidak berlaku seperti yang diinginkan. Hanya tinggal beberapa hari sahaja untuk berlangsung. Saya berharap semua akan berjalan dengan baik. Kalau sempat saya menyediakan soalan maklumbalas tentang program ini, saya akan sediakan. Mungkin di masa akan datang, ia akan menjadi program tahunan di fakulti saya. Jadi, apa yang kurang diharap dapat diperbetulkan.
Sharing is caring...?
Filem
Keesokkannya iaitu hari ahad, diadakan pula "Wacana Intelektual" bertemakan "Penyerlahan Budaya Melayu Melalui Filem". Banyak input yang saya dapati daripada perbincangan ini. Untuk para pelajar juga, saya rasa mereka mendapat ilmu yang bermanfaat daripada perbincangan ilmu ini walaupun pada asalnya seolah-olah dipaksa untuk menyertai. Panel yang terlibat pun mempunyai kredibiliti yang tersendiri dalam bidang seni iaitu Prof. Dr. Muhamad Hatta Azad Khan (Pengarah Filem WAYANG), Encik Hassan Mutalib (Karyawan) dan juga Mas Muharni (Pelakon, menjadi panel menggantikan Eman Manan).
Walaupun terasa agak berpuas hati, banyak perkara yang harus diambil berat untuk menganjurkan program sebegini. Saya akui, pelaksanaannya agak tidak teratur, namun boleh diperbaiki lagi. Pendapat saya, program yang bagus sebegini harus diteruskan terutamanya bagi mendidik anak bangsa sendiri dan memberi kesedaran melalui filem yang berkualiti.
Kenangan - versi 1
Ketika kembara
Tanggungjawab
Dan saya hampir pasti, selepas ini banyak lagi perkara yang akan saya hadapi. satu perkara yang saya pelajari ialah, amat susah untuk mendapat sokongan sekiranya kita hanya mementingkan diri, tidak bertolak ansur dan menggunakan kuasa yang ada untuk mengenepikan hak tanpa mengira perasaan orang yang lain.
Rezeki
Hari ini adalah hari untuk menyiapkan proposal. Hari 'proposal sedunia'. Saya mensasarkan untuk menyiapkan proposal untuk program pelajar dan juga untuk penyelidikan. Seawal pagi, bilik saya sudah panas dengan perbincangan hal berkaitan dengan kerja (walaupun tak secara langsung). Saya mendengar luahan dan juga memberi pendapat. Harapnya keadaan akan menjadi lebih baik.
Minggu lepas, saya telah dilantik untuk menjalankan satu tanggungjawab. Ia bukan satu jawatan yang besar pun tapi memadai lah untuk orang yang tidak seberapa macam saya. Hakikatnya, saya tidak mengharap pun pada tanggungjawab itu dan tidak terfikir walaupun untuk dicalonkan. Saya hanya ke mesyuarat itu sekadar memberi sokongan kepada persatuan, dan juga mencari 'duit poket'...hehehe. Tapi, apabila dicalonkan, memang saya terkejut, sebab memang tidak ada secuit pun rasa mengharap pada jawatan itu, dan ketika itu, untuk menolak, pada saya mungkin saya tidak akan menang sebab rasanya calon yang lain lagi baik daripada saya. Dan mungkin juga rezeki saya, saya yang menang dengan sokongan yang tidak banyak sebab ahli yang hadir adalah tidak ramai (kalau ramai yang hadir, mungkin saya tak akan tercalon). Tapi saya percaya kepada rezeki yang Allah berikan (sebab saya berdoa sesuatu yang tidak perlu saya nyatakan di sini). Pada masa itu, saya terfikir, mungkin saya boleh cuba, sedaya upaya, menjalankan tanggungjawab itu, walaupun pada masa yang sama saya agak was-was. Perasaan risau terbawa-bawa hingga ke rumah dan sehingga hari ini saya masih terfikirkan hal itu. Saya juga memikirkan dan dapat rasai mungkin ada yang tidak setuju atau kurang yakin dengan perlantikan saya itu. Namun, sekarang saya tidak mahu memikirkannya lagi, sebab saya sudah berazam akan melaksanakan tanggungjawab ini dengan sebaik mungkin. Saya juga ingin memohon maaf sekiranya saya tidak layak, saya terima untuk digugurkan pada pemilihan yang akan datang. Yang penting, saya akan mengambil peluang yang diberikan ini dengan melakukan yang terbaik. InsyaAllah.
Penat ke?
Semangat baru
meLAYU....
dan pagi tadi, waktu kelas, saya bagi ceramah free kat student...bukan ape, untuk setiap kelas, mesti pelajar lelaki yang akan jadi kumpulan minoriti...saya rasa keadaan yang sama berlaku pada kebanyakan kelas-kelas yang lain..untuk semester ini dan pelajar yang saya jumpa setakat ini, maksimum adalah hanya 6 orang pelajar lelaki daripada 20-30 orang pelajar dalam satu kelas...mana pergi manusia yang bernama lelaki...itu soalan yang saya ajukan kepada mereka...untuk kelas pagi tadi, hanya 4 orang pelajar lelaki daripada 21 orang...mereka hanya tersengih...bila dah tersengih, saya sindir lagi...jadilah lelaki yang berkualiti dari semua aspek...kalo macam ni la keadaan awak pelajar lelaki (pada masa tu, ke 4-4 duduk barisan paling belakang), awak takkan jadi lelaki berkualiti...sebabnya, orang lelaki sepatutnya atau sekurang-kurangnya berada di barisan hadapan untuk diangkat sebagai pemimpin...tersengih lagi....agaknya terasa la tu...dan saya tambah lagi, zaman sekarang memang susah nak cari seorang lelaki yang betul-betul berkualiti dalam semua aspek...agamanya, pendidikannya dan macam2 lagi...bukan tak ada langsung, tapi semakin kurang....kalau kebanyakan jawatan penting dipegang oleh orang perempuan, apa nak jadi dengan orang lelaki.....itu yang saya geram dengan anak-anak muda lelaki berbangsa melayu terutamanya....diorang penakut dalam kelas, tapi berani nak membunuh diri di jalan raya...penakut untuk pergi masjid/kelas agama, tapi berani nak jadi 'doktor'...cucuk diri sendiri...
dan tengahhari ni pulak, saya ke rumah sekejap sebab janji dengan suami nak lunch sama....sambil-sambil mendengar berita terkini....biasa la, kejadian pada malam tahun baru...antara yang menarik minat saya...berlaku kemalangan yang melibatkan anak muda melayu yang baru pulang dari sabuah pusat hiburan di KL selepas celebrate tahun baru...salah seorang tu meninggal di tempat kejadian dengan kepala pecah disebabkan tercampak keluar dari kereta...saya beristighfar....ya Allah..dalam hati..."kesiannya dia meninggal dalam keadaan macam tu"...bukan kesian sebab accident, tapi kesian sebab meninggal selepas meninggalkan tempat hiburan tu...xtau la diorang melakukan maksiat atau pun tidak...bukan saya layak untuk mengadili semua tu...itu urusan Tuhan...tapi mintak-mintak meninggal dalam iman....dan yang dikesalkan...adalah bangsa MELAYU....aduuhh...
jadi, di hari pertama tahun baru ini, saya mohon kepada Allah agar diberikan segala kebaikan dan keinsafan kepada diri saya sendiri, keluarga,sahabat, bangsa MELAYU serta umat islam..semoga kita akan jadi lebih baik daripada hari yang lepas...